Cuaca panas: Jeram Sungai Talan jadi tumpuan

Cuaca panas: Jeram Sungai Talan jadi tumpuan

NURSYAHIRA Iffah Ab Aziz (duduk, kiri) berkelah bersama keluarganya di Jeram Rekreasi Sungai Talan di Kampung Bintongan, Rembau. – UTUSAN/NOR SHAFIQAH MOHD GHAZALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

REMBAU: Cuaca panas ketika ini menyaksikan kawasan air terjun dan jeram menjadi tumpuan orang ramai.

Tidak terkecuali kawasan Jeram Rekreasi Sungai Talan di Kampung Bintongan di sini yang dipenuhi kehadiran pengunjung khususnya pada waktu tengah hari dan petang.

Seorang pemandu arah kawasan itu, Mohd. Jamel Madom, 70, berkata, kehadiran pengunjung meningkat sejak hari pertama Aidilfitri.

Katanya, majoriti pe­ngunjung singgah secara spontan selepas berkunjung ke rumah saudara-mara dan kenalan di sekitar daerah berkenaan.

“Sejak petang hari raya pertama hingga hari ini, mereka datang bersama keluarga untuk mandi-manda dengan jumlah sekitar 60 hingga 70 buah kenderaan.

“Ada yang singgah selepas pulang beraya di sekitar sini malah kebanyakannya juga datang dari Melaka,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di sini semalam.

Tambahnya, walaupun paras air sungai kini juga cetek kesan cuaca panas dan kemarau, keadaan itu tidak menjejaskan aktiviti pengunjung.

“Air memang cetek sekarang, tetapi masih sesuai untuk mandi. Kanak-kanak biasanya mandi-manda manakala orang dewasa lebih gemar duduk di tepi sungai dan merendam kaki,” katanya.

Sementara itu, seorang pe­ngunjung, Nursyahira Iffah Ab. Aziz, 40, berkata, dia juga mengambil peluang berkumpul bersama ahli keluarga di situ.

“Semua adik-beradik pulang ke kampung di Bahau dan kami merancang secara spontan untuk berkumpul dan mengadakan hari keluarga di sini,” katanya.

Menurutnya, lokasi tersebut menjadi pilihan kerana mesra kanak-kanak dan warga emas. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×