Guru dan pensyarah serta individu terbabit dengan dunia seni muzik diundang menyertai Persidangan Pendidikan Muzik Malaysia (MusEd’21) yang akan berlangsung pada selama tiga hari bermula 20 Ogos ini secara dalam talian.
Persidangan itu dianjurkan bersama Fakulti Muzik, Universiti Teknologi Mara dan Persatuan Pendidikan Muzik Malaysia (MAME).
Pengerusi MusEd’21, Prof. Madya Dr. Ramona Mohd. Tahir, berkata persidangan kali ke lima diadakan itu adalah sebagai platform untuk pendidik muzik, penyelidik, pentadbir, pelajar, pemuzik dan pengamal industri membincangkan idea, penemuan, inovasi dan amalan terbaik yang berkaitan dengan pengajaran dan pembelajaran muzik.
“Ia turut bertujuan mendapatkan pengiktirafan dan sokongan umum terhadap muzik sebagai suatu bidang ilmu yang perlu diketahui, mempromosi faedah dan kelebihan muzik serta pendidikan seni muzik. Pada masa sama meraih sokongan terhadap pendidikan seni muzik ke arah meningkatkan tahap apresiasi muzik umum,” katanya.
Persidangan itu akan mengetengahkan idea inovatif, karya muzik terkini atau konsep yang dapat memberi manfaat kepada bidang pendidikan muzik.









