PETALING JAYA: Statut perlembagaan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) perlu digubal semula agar selari dengan keperluan semasa, khususnya berkaitan struktur kepemimpinan badan induk itu.
Menurut bekas Ahli Jawatankuasa (Exco) FAM, Abdul Aziz Yeop Jamaludin, peruntukan perlembagaan yang melibatkan peletakan jawatan dan perebutan kerusi perlu diperhalusi.
Beliau menjadikan contoh peletakan jawatan 17 Exco pada Januari lalu dan berpendapat bahawa larangan untuk bertanding semula perlu dikenakan bagi memastikan akauntabiliti setiap jawatan di FAM terjamin.
“Saya menyokong agar statut perlembagaan FAM diubah agar demi menjaga ketelusan dan kebertanggungjawaban dalam FAM. Apa yang berlaku membabitkan 17 Exco boleh dijadikan rujukan utama.
“Ini bermakna, pada masa akan datang, setiap individu yang mempunyai jawatan dalam FAM perlu fikir panjang untuk lepaskan jawatan mereka waima apa pun alasannya sebab selepas letak jawatan mereka perlu dikenakan larangan untuk bertanding sekurang-kurangnya pada penggal seterusnya.
“Ini demi menjaga akauntabiliti jawatan FAM itu sendiri di mana setiap calon perlu memastikan mereka benar-benar layak untuk menggalasnya,” katanya.
Katanya, tanggungjawab 17 Exco yang melepaskan jawatan mereka tidak terhenti setakat di situ sahaja tetapi perlu meneruskannya pada pemilihan yang akan datang.
“Andai kata kalau statut perlembagaan masih tidak diubah, mereka perlu ambil rasa tanggungjawab dengan tak bertanding untuk penggal seterusnya. Perkara seperti ini tak perlu didesak. Mereka boleh menilainya sendiri,” katanya.
Terdahulu, Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) mencadangkan agar FAM melangsungkan kongres luar biasa bagi mendapat persetujuan mengubah statut sebelum Jun ini bagi melancarkan kongres pemilihan yang dijangka pada Ogos ini. – UTUSAN










