PETALING JAYA: Malaysia perlu segera membangunkan tenaga nuklear bagi menampung peningkatan permintaan elektrik yang kian mendesak dengan situasi ketegangan geopolitik pada masa kini.
Seorang pakar nuklear yang enggan dikenali berkata, walaupun menelan kos yang tinggi kerajaan perlu nekad dan mempunyai iltizam politik yang tinggi untuk meneroka bidang berkenaan yang disifatkan mempunyai cabaran tersendiri.
Katanya, ia penting bagi menjamin kestabilan tenaga jangka panjang dan mengurangkan kebergantungan kepada bahan api fosil yang semakin terhad.
“Malaysia mempunyai potensi tinggi untuk bangunkan tenaga nuklear bagi menampung penggunaan elektrik dengan potensi daripada segi kepakaran dan tapak loji di negara ini.
“Maka, perancangan kerajaan untuk membangunkan tenaga itu pada 2030 mungkin agak terlambat. Ini detik paling sesuai untuk Malaysia memulakan langkah ke arah pembinaan loji tenaga nuklear sebelum kos pembangunan meningkat berkali ganda pada masa depan,” katanya kepada Utusan Malaysia semalam.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof sebelum itu berkata, kerajaan menilai potensi dan kebolehlaksanaan tenaga nuklear untuk penjanaan tenaga elektrik negara sejajar dengan perubahan lanskap tenaga global yang dipengaruhi ketidaktentuan geopolitik serta ketidakstabilan bekalan dan harga bahan api.
Katanya, penerokaan potensi tenaga nuklear untuk penjanaan tenaga elektrik negara adalah satu langkah strategik bagi memastikan keterjaminan tenaga jangka panjang.
Fadillah yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air dilaporkan berkata, inisiatif itu turut menyokong aspirasi peralihan tenaga bersih negara sebagaimana digariskan dalam Rancangan Malaysia Ketiga Belas (RMK13).
Ketegangan di Asia Barat, termasuk gangguan terhadap laluan perdagangan tenaga strategik seperti Teluk Hormuz, telah memberikan kesan negatif kepada pasaran dan perbekalan tenaga global dan dalam konteks ini, tenaga nuklear dilihat berupaya menyediakan penjanaan beban asas (base-load) yang stabil dan rendah karbon, sekali gus membantu mengurangkan kebergantungan kepada bahan api fosil.
Dalam pada itu, pakar tersebut berkata, dengan membangunkan teknologi berkenaan, Malaysia mampu menjimatkan lebih 50 peratus daripada penggunaan bahan api fosil yang semakin terhad.
Malah katanya, walaupun menelan kos sehingga RM20 bilion untuk membangunkan loji tenaga nuklear pertama negara dengan kapasiti satu gigawatt (GW), sumbangannya besar dan mampu memberi kesan baik kepada sumber tenaga negara.
Katanya, Malaysia perlu mencontohi beberapa negara seperti Bangladesh dan Vietnam yang telah memulakan pembangunan tenaga nuklear. – UTUSAN








