KANGAR: Pintu sempadan Malaysia-Thailand di Kuala Perlis akan dibuka semula melalui pengoperasian kembali perkhidmatan feri penumpang dari Kuala Perlis di sini ke Satun, Thailand yang dijangka pada Mei ini.
Pembukaan semula itu sekali gus bakal melonjakkan sektor pelancongan dan ekonomi dua hala Perlis-Thailand.
Menteri Besar, Abu Bakar Hamzah berkata, serentak dengan itu, terminal atau jeti Kuala Perlis turut bakal dinaik taraf selain bangunan Konkos di pekan Kuala Perlis bakal dibaik pulih serta disusun semula untuk tujuan memperkukuhkan pelancongan di sini.
Katanya, sebelum ini, beberapa pengusaha atau syarikat feri berkenaan telah menyatakan persetujuan untuk beroperasi.
“Semasa saya bertemu Menteri Dalam Negeri baru-baru ini, tidak ada halangan untuk pengoperasian semula itu memandangkan tidak pernah ada istilah pintu keluar masuk Malaysia-Thailand di Kuala Perlis itu ditutup sebalikya hanya ditangguh sementara sebelum ini.
“Selain Padang Besar dan Wang Kelian, pembukaan semula pintu sempadan ketiga melalui laluan laut di Kuala Perlis, ia sekali gus bakal mempertingkatkan ekonomi setempat dan pelancongan di negeri ini,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Kebiasaan, perjalanan dari Kuala Perlis ke Satun menggunakan laluan laut hanya mengambil masa sekitar 30 minit berbanding laluan darat melalui Wang Kelian yang jaraknya lebih jauh.
Abu Bakar berkata, pengoperasian semula perkhidmatan tersebut bakal memberi impak positif dan merancakkan lagi ekonomi penduduk setempat khususnya di Kuala Perlis.
Katanya, perkhidmatan tersebut sememangnya dinanti-nantikan oleh penduduk setempat malah permintaan pengoperasian itu juga banyak diterima daripada pengunjung dari Thailand.
“Kuala Perlis akan menjadi destinasi pelancongan yang bakal disusun semula melalui beberapa penambaikan seperti baik pulih jeti Kuala Perlis.
“Kita juga akan melihat keperluan Konkos diserahkan kembali kepada anak syarikat kerajaan negeri untuk disusun semula daripada segi kemudahan kaunter tiket dan pelbagai kemudahan lain seperti keluar masuk pelancong di lokasi berkenaan.
“Manakala perkhidmatan Roll on Roll Off (Roro), kita cadangkan untuk pindah ke tapak Menteri Besar Incorporated (MBI) Kuala Perlis,” katanya. – UTUSAN










