KANGAR: Malaysia dijangka berdepan suhu sehingga 42 darjah Celsius atau lebih, terpanas dalam sejarah susulan fenomena El Nino yang berubah daripada kitaran iklim biasa kepada fenomena lebih ekstrem kebelakangan ini.
Kelembapan tinggi tropika, suhu panas berkenaan boleh terasa seperti 40 sehingga 45 darjah Celsius atau lebih.
Negara pernah berdepan cuaca terpanas iaitu pada 1997-1998 iaitu lokasi utama di Chuping, Perlis yang menyaksikan suhu 40.1 darjah Celsius, rekod suhu tertinggi di negara ini.
Seterusnya beberapa episod fenomena El-Nino di Malaysia pada 2005 merekodkan suhu antara 36-38 darjah Celsius; pada 2010 (36-37 darjah Celsius); 2015-2016 (39.3 darjah Celsius); 2023 (36-37 darjah Celsius) dan pada tahun ini, 37-40 darjah Celsius yang dijangka bakal menjadi episod paling panas namun bergantung kepada intensiti El Nino-Southern Oscillation (ENSO).
ENSO merupakan fenomena semula jadi yang melibatkan perubahan suhu laut dan angin di Lautan Pasifik yang mempengaruhi cuaca global.
Ia mempunyai dua keadaan utama iaitu El Nino (panas dan kering) dan La Nina (sejuk dan basah) dengan perubahan itu menentukan sama ada Malaysia akan mengalami cuaca panas, kemarau atau hujan lebat dan banjir.
Justeru, pendekatan masa depan perlu beralih daripada sekadar reaksi terhadap cuaca panas kepada pembangunan sistem ramalan awal dan pengurusan risiko lebih proaktif.
Di Perlis, ketika ini sudah memasuki hari ke-99 tanpa hujan dengan empangan Timah Tasoh, yang menjadi sumber utama bekalan air domestik, pengairan pertanian dan tebatan banjir hanya mampu bertahan 81 hari sekiranya masih tiada hujan serta panas berterusan.

Pensyarah Fakulti Kejuruteraan dan Teknologi Awam Universiti Malaysia Perlis (Unimap), Prof. Madya Dr. Norazian Mohamed Noor berkata, fenomena El Nino ketika ini tidak lagi boleh dilihat sebagai kitaran iklim biasa sebaliknya telah berubah menjadi fenomena lebih ekstrem, kompleks dan memberi impak sistemik.
Katanya, cabaran utama bakal dihadapi bukan sekadar berdepan cuaca panas, tetapi sistem iklim semakin tidak menentu akibat interaksi antara El Nino dan perubahan iklim global.
“Walaupun suhu di Malaysia jarang mencecah tahap ekstrem seperti di Asia Barat atau India, risiko sebenar terletak pada gabungan antara suhu tinggi dan kelembapan tinggi. Keadaan tersebut menyebabkan ‘heat stress’ yang lebih tinggi kepada manusia, walaupun suhu sebenar tidak terlalu ekstrem.
“Tambahan pula, kebergantungan Malaysia kepada sistem monsun menjadikan negara ini lebih sensitif terhadap perubahan kecil dalam sistem iklim global seperti ENSO,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.
Norazian berkata, kajian menunjukkan bahawa El Nino pada masa kini tidak lagi sekadar fenomena berkitar, tetapi menunjukkan ciri-ciri ekstrem.
Katanya, dalam konteks Malaysia, El Nino secara konsisten dikaitkan dengan peningkatan suhu dan pengurangan hujan yang membawa kepada keadaan kemarau dan gelombang haba.
“Lebih membimbangkan, analisis klimatologi mendapati bahawa hampir 75 peratus permukaan bumi dipengaruhi oleh ENSO, sama ada melalui perubahan suhu atau keadaan hidrologi ekstrem.
“Ini menunjukkan bahawa El Nino bukan sahaja fenomena serantau, tetapi pemacu utama perubahan cuaca global yang memberi kesan besar kepada negara tropika seperti Malaysia,” katanya.
Beliau berkata, salah satu sebab utama mengapa El Nino kini terasa lebih teruk ialah konsep yang dikenali sebagai baseline warming.
Katanya, El Nino pada hari ini berlaku dalam keadaan dunia yang sudah mengalami peningkatan suhu akibat perubahan iklim.
“Ini bermaksud, suhu asas bumi sudah lebih tinggi, El Nino hanya menambah lagi haba ke atas sistem sedia ada. Akibatnya, suhu yang dahulu dianggap ekstrem kini menjadi lebih mudah berlaku. Ini menjelaskan mengapa episod El Nino moden sering dikaitkan dengan rekod suhu baharu dan gelombang haba yang lebih teruk berbanding dekad lalu,” katanya.
Katanya lagi, menerusi kajian jangka panjang melibatkan 46 tahun data meteorologi di Malaysia, didapati bahawa hujan ekstrem berkurang semasa El Nino tetapi kejadian hari kering meningkat, bergantung kepada kekuatan fenomena. – UTUSAN










