PETALING JAYA: Luno, bursa aset digital diluluskan oleh Suruhanjaya Sekuriti (SC) positif terhadap perkembangan mata wang kripto di Malaysia tahun ini, disokong permintaan industri aset digital yang terus berkembang.
Pengurus Negara Luno Malaysia, Aaron Tang berkata, setakat ini, sebanyak 300,000 pelabur telah berdaftar dan membabitkan nilai aset digital di bawah seliaan lebih RM1 bilion.
Ujarnya, pihaknya juga merekodkan transaksi RM15 juta sehari dengan ribuan pengguna baharu mendaftar setiap hari, sekali gus menambah keyakinan untuk pelaburan yang lebih berkembang tahun ini.
“Malaysia antara negara ASEAN paling pantas mengeluarkan peraturan atau kawal selia membabitkan mata wang kripto, sekali gus menyokong perkembangan pelaburan mata wang kripto di negara ini. Prestasi ini setanding Singapura, Thailand dan Filipina yang sudah menggariskan peraturan yang sama.
“Rakyat Malaysia sudah mula mencari peluang mempelbagaikan pelaburan mereka dan ini dapat dilihat apabila penasihat kewangan juga sudah mula mengeluarkan garis panduan atau mencadangkan pelaburan mata wang kripto bermula satu hingga lima peratus,” katanya pada taklimat maya, semalam.
Dalam taklimat sama, beliau turut berkongsi lima mitos mengenai Bitcoin paling umum merangkumi aset pelaburan, kesannya terhadap alam sekitar dan penggunaannya secara umum oleh pengguna.
Sesi media maya adalah sebahagian daripada usaha Luno untuk membantu rakyat Malaysia mempelajari topik mata wang kripto selepas syarikat terbabit mencapai matlamat lapan juta pelanggan di seluruh dunia.
Aaron menjelaskan, tidak pernah terlambat untuk memiliki Bitcoin kerana nilai sebenar Bitcoin dapat dilihat dalam penggunaan global dari masa ke masa dan dalam kaedah pembayaran, simpanan nilai, atau sebagai sebuah aset lindung nilai terhadap inflasi.
“Ada juga mitos mengatakan Bitcoin tidak boleh dipandang serius kerana harganya yang sentiasa turun naik namun kepercayaan ini boleh berubah dalam jangka masa pendek kerana peristiwa tertentu yang mempunyai kesan sementara terhadap harga Bitcoin.
“Selain itu, tanggapan Bitcoin mempunyai kesan buruk terhadap alam sekitar adalah salah kerana Bitcoin sebenarnya hanya menggunakan sebahagian kecil tenaga berbanding yang digunakan oleh sektor kewangan semasa.
“Mitos paling banyak didengar adalah mengenai penggunaan Bitcoin untuk aktiviti jenayah. Ini kerana ramai orang menganggap Bitcoin sukar dikesan walaupun sebenarnya, semua transaksi Bitcoin adalah telus dan mudah dikesan. Buktinya, aktiviti haram mata wang kripto hanya mencatat 0.34 peratus tahun lalu,” katanya.
Tambah beliau, mata wang kripto seperti Bitcoin mengalami peningkatan populariti yang ketara tahun lalu namun terdapat tanggapan salah yang menyukarkan pelabur baharu untuk memahami kelas aset ini.
“Sebagai bursa aset digital terkemuka dengan lapan juta pelanggan di seluruh dunia, Luno komited mendidik masyarakat mengenai mata wang kripto agar mereka mendapat pengetahuan menyeluruh untuk meneroka dunia mata wang kripto.
“Platform kami bukan hanya tempat untuk membeli dan menjual mata wang kripto dengan selamat, malah sumber yang baik untuk mempelajari mata wang kripto untuk sesiapa sahaja, daripada pemula hingga pelabur berpengalaman,” katanya. – UTUSAN










