Perang Iran-Israel : Bom jangka ekonomi politik dunia

Perang Iran-Israel : Bom jangka ekonomi politik dunia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DUNIA hari ini sedang menyaksikan tragedi salah faham intelektual yang bahaya iaitu kepercayaan tegar bahawa ekonomi dan politik adalah dua entiti berasingan.

Kita sering tersilap menganggap carta harga minyak di skrin Bloomberg hanyalah angka teknikal pasaran yang ditentukan mekanisme bekalan dan permintaan, manakala serangan peluru berpandu di Asia Barat sebagai isu geopolitik terpencil di bilik gerakan perang.

Namun, krisis Iran-Israel hari ini adalah tamparan hebat kepada kenaifan tersebut.

Memahami ekonomi politik bermakna memahami pasaran tidak pernah benar-benar ‘bebas’ sebaliknya sentiasa dipasung rantai kuasa politik. Setiap titisan minyak yang mengalir ke dalam tangki kenderaan kita bukan sekadar komoditi perdagangan tetapi manifestasi fizikal daripada percaturan kuasa di meja rundingan bilik perang global. Inilah hakikat ekonomi politik yang paling berat dalam sejarah moden kita.

Sejarah adalah guru yang paling kejam bagi mereka yang enggan belajar. Untuk memaknai beratnya senario hari ini, kita perlu menyingkap kembali sejarah hitam ekonomi politik global yang sering diabaikan.

Krisis Minyak 1973 dan 1979 bukan sekadar cerita tentang gangguan logistik tetapi demonstrasi bagaimana tenaga dijadikan senjata politik.

Apabila harga minyak melonjak 300 peratus dalam sekelip mata pada 1973 daripada AS$3 ke AS$12 setong, ia bukan kerana telaga minyak dunia tiba-tiba kering tetapi kerana keputusan politik negara-negara Arab untuk melumpuhkan kedaulatan penyokong Israel dalam Perang Yom Kippur.

Ekonomi tanpa politik adalah buta, manakala politik tanpa ekonomi adalah jumud.

Pengajaran terbesar daripada Krisis 1979 semasa Revolusi Iran pula membuktikan psikologi pasaran jauh lebih berkuasa daripada realiti fizikal.

Walaupun pengeluaran minyak global pada waktu itu hanya jatuh kira-kira 4 peratus, namun harga minyak melompat lebih dua kali ganda kerana faktor ketidaktentuan dan panik. Dalam disiplin ekonomi politik, ini disebut sebagai Geopolitical Risk Premium, satu ‘cukai ketakutan’ yang dibayar seluruh penduduk dunia akibat ketidakstabilan di wilayah yang bergolak.

Hari ini, ancaman perang Iran-Israel meletakkan dunia di bibir jurang yang sama, namun dengan skala rantaian bekalan yang jauh lebih kompleks.

Iran memegang kunci kepada Selat Hormuz, sebuah laluan sempit yang menyalurkan kira-kira 21 juta tong minyak sehari atau 21 peratus daripada penggunaan petroleum global.

Penganalisis memberi amaran sebarang gangguan di selat ini akan mencetuskan ‘kejutan sistemik’ yang boleh melambungkan harga minyak mentah Brent melepasi paras AS$150 (RM594) hingga AS$200 (RM792.20) setong. Ini bukan lagi sekadar inflasi tetapi keruntuhan sistemik yang memaksa dunia melakukan The Great Reset terhadap cara kita menilai risiko dan kelangsungan hidup.

Di Malaysia, kita sering dibuai rasa selamat sebagai sebuah negara pengeluar minyak dan gas yang dikurniakan sumber asli. Namun, lensa ekonomi politik mendedahkan kerapuhan yang amat nyata di sebalik tabir keselesaan ini.

Secara teorinya, setiap kenaikan AS$1 (RM3.95-RM4) setong dalam harga minyak mentah Brent menambah pendapatan kerajaan Malaysia sekitar RM300 juta hingga RM400 juta setahun melalui royalti dan cukai petroleum.

Namun, ‘durian runtuh’ ini hanyalah satu fatamorgana yang segera ditelan oleh liabiliti subsidi yang boleh membengkak luar biasa.

Setakat Mac lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mendedahkan data yang menggerunkan bahawa kerajaan terpaksa membelanjakan sebanyak RM2 bilion sebulan semata-mata untuk mengekalkan harga petrol RON95 pada paras RM1.99 seliter.

Angka ini bukan sekadar statistik perakaunan tetapi ia adalah kos peluang yang hilang. RM2 bilion sebulan adalah dana gergasi yang sepatutnya digunakan untuk membina infrastruktur hospital, menaik taraf sekolah dan memacu ekonomi digital negara tetapi kini terpaksa ‘dibakar’ di pam minyak akibat ketidakstabilan geopolitik yang tidak menentu.

Kenaikan harga minyak global adalah pedang bermata dua yang menghimpit Putrajaya dalam satu trilemma fiskal dengan mengekalkan subsidi dan mengorbankan defisit negara, menarik balik subsidi dan membiarkan inflasi melambung atau menambah hutang negara melepasi had statutori.

Rakyat perlu memahami setiap sen keselesaan di pam minyak hari ini dibayar dengan harga yang sangat mahal oleh masa depan fiskal dan daya saing negara.

 

 

GENCATAN POLITIK
Implikasi ekonomi politik perang Iran-Israel pastinya tidak terhenti di pam minyak sahaja. Ia merayap masuk ke setiap pelosok kehidupan melalui ancaman Great Inflation. Apabila kos tenaga meledak, harga segala benda daripada sekampit beras hingga ke baja pertanian akan naik mendadak secara rantaian.

Salah percaturan global dalam konflik ini akan mengheret dunia ke kancah krisis kemanusiaan yang dahsyat. Kenaikan harga makanan akibat kos logistik sering menjadi pencetus kepada rusuhan sivil dan ketidakstabilan politik dalaman.

Sejarah mencatatkan revolusi sering bermula di dapur yang kosong, bukannya di bilik perdebatan ideologi.

Dalam keadaan segenting ini, amalan mempolitikkan krisis demi meraih sokongan murah atau memancing emosi pengundi adalah satu pengkhianatan terhadap survival negara.

Sekarang bukan masanya untuk polemik kepartian yang dangkal. Rakyat tidak memerlukan retorik yang mengaburi mata, sebaliknya memerlukan kejujuran radikal dan ketelusan mutlak daripada pihak kerajaan.

Menjelaskan realiti ekonomi secara terbuka bukan bertujuan menyebarkan panik tetapi membina kontrak sosial yang jujur antara pemerintah dan rakyat.

Tanggungjawab kerajaan hari ini adalah menerangkan secara telus kepada rakyat bahawa dunia sedang berada dalam keadaan luar biasa dan strategi luar jangka perlu disokong bersama. Keresahan rakyat adalah nyata dan hanya dengan ketelusan maklumat, keresahan itu boleh ditukar menjadi kekuatan kolektif.

Kita memerlukan ‘solidariti strategik’. Kita memerlukan satu gencatan senjata politik domestik di mana semua pihak memahami kestabilan dalaman adalah satu-satunya perisai terhadap tsunami ekonomi global.

Memahami ekonomi politik bermaksud sedar bahawa apabila harga barang melambung, ia tidak akan memilih mangsa mengikut warna parti atau ideologi. Perlu ada kebersamaan untuk menghadapi realiti pahit ini demi menyelamatkan masa hadapan Malaysia.

Berhenti berpolitik secara sempit. Ini adalah masa untuk kepimpinan yang berani menyatakan kebenaran walaupun pahit untuk didengar.

Kesimpulannya, perang Iran-Israel adalah peringatan keras bahawa setiap keputusan politik di Tel Aviv atau Tehran adalah ‘cukai’ yang tidak diisytiharkan, yang akan dipungut terus daripada meja makan setiap rakyat Malaysia.

Kita harus berhenti melihat ekonomi dan politik sebagai dua subjek yang berbeza. Politik adalah ekonomi dalam tindakan dan ekonomi adalah politik dalam bentuk angka. –UTUSAN

 

PROFESOR Dr. Zainal Abidin Sanusi ialah Pensyarah di Jabatan Sains Politik dan Pengajian Madani, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×