5,600 warga asing salah guna pas lawatan

5,600 warga asing salah guna pas lawatan

ZAKARIA SHAABAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Isu penyalahgunaan Pas Lawatan Sosial (PLS) dalam kalangan warga asing me­nunjukkan trend membimbangkan apabila sebanyak 5,600 kes direkodkan sejak 2024 hingga 6 Februari lalu.

Daripada jumlah itu, seba­nyak 2,644 kes dicatatkan pada 2024, diikuti 2,630 kes pada 2025, manakala 326 kes lagi direkodkan setakat awal tahun ini.

Ketua Pengarah Jabatan Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban berkata, warga Thailand mencatat­kan jumlah tertinggi iaitu 2,809 kes, diikuti Bangladesh (634), China (597), Indonesia (585) dan Vietnam (473).

Menurutnya, peningkatan kes didorong beberapa faktor termasuk permintaan tinggi terhadap buruh murah dalam kalangan majikan tempatan yang ingin mengurangkan kos operasi.

“Selain itu, kewujudan sindiket atau ejen yang menawarkan peluang pekerjaan kepada warga asing sebaik tiba di negara ini turut menyumbang kepada trend berkenaan.

“Tekanan ekonomi global di negara asal juga mendorong warga asing mengambil risiko bekerja secara haram manakala kemudahan pengecualian visa bagi sesetengah negara memudahkan kemasukan tanpa tapisan awal,” katanya kepada Utusan Malaysia semalam.

Dalam pada itu, Zakaria berkata, pihaknya mengesan pelbagai modus operandi baharu bagi mengelak tindakan penguatkuasaan termasuk taktik ‘Ali Baba’ dengan menyewa lesen perniagaan milik warga tempatan untuk membuka premis.

“Terdapat juga warga asing yang masuk sebagai pelancong tetapi bekerja dalam sektor seperti restoran dan pembinaan.

“Selain itu, ada yang me­nyalahgunakan pas lawatan jangka panjang melalui perkahwinan dengan warga tempatan untuk menjalankan perniagaan tanpa permit sah,” jelasnya.

Menurut beliau, walaupun operasi penguatkuasaan se­perti Op Kutip dan Op Sapu dilaksanakan secara berterusan, namun pihaknya masih berdepan cabaran termasuk kewujudan laluan tikus di sempadan serta kebocoran maklumat operasi kepada sindiket.

Katanya, Jabatan Imigresen memberi amaran tegas kepada majikan tempatan agar tidak bersubahat menggaji warga asing tanpa permit sah.

“Di bawah Akta Imigresen 1959/63, majikan boleh dikenakan denda sehingga RM50,000 bagi setiap pekerja selain berdepan hukuman penjara dan sebatan jika melibatkan lebih lima pendatang asing tanpa izin (PATI),” tegasnya.

Tambah beliau, tindakan pembekuan aset juga boleh diambil di bawah Akta Pencegahan Pe­ngubahan Wang Haram (AMLA) terhadap sindiket yang mengaut keuntungan daripada aktiviti berkenaan.

Dalam perkembangan sama, katanya, penyalahgunaan PLS turut memberi kesan kepada ekonomi tempatan apabila warga asing terlibat dalam penjualan barangan seludup atau tiruan tanpa cukai sehingga mewujudkan persaingan tidak sihat kepada peniaga kecil dan sederhana.

“Pas lawatan sosial adalah untuk tujuan lawatan semata-mata dan bukan untuk bekerja. Mana-mana warga asing yang melanggar syarat akan ditahan, dideportasi serta disenarai hitamkan daripada memasuki Malaysia.

“Orang ramai juga diingatkan agar tidak melindungi pendatang asing tanpa izin demi kepen­tingan jangka pendek sehingga menjejaskan kedaulatan negara,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×