PEPERANGAN antara Amerika Syarikat (AS), Israel dan Iran yang bermula pada 28 Februari lalu mempunyai implikasi besar kepada politik dan ekonomi antarabangsa.
Peperangan yang dimulakan AS dan Israel itu mengikut jangkaan mereka akan mengambil masa singkat dengan matlamat meranatkan kekuatan Iran dengan serangan bertubi-tubi.
Serangan itu mengikut perkiraan AS dan Israel akan menghancurkan pertahanan Republik Islam Iran dan kekalahan segera akan berlaku.
Pembunuhan Pemimpin Tertinggi Iran, Ayatollah Ali Khamenei dalam serangan itu mengikut perkiraan AS akan melemah dan mengkucar-kacirkan politik, pentadbiran serta pertahanan Iran.
Bagi mereka, Iran akan dapat dikuasai dalam masa singkat dan pentadbiran baharu negara itu membentuk pro-AS. Model ini sama seperti dilakukan ke atas Venezuela.
Malangnya, perkiraan dan jangkaan mudah AS dan Israel tidak semudah itu berlaku atau menjadi kenyataan di Iran.
Iran dan Venezuela ternyata mempunyai perbezaan yang besar. Jangkaan kedudukan pertahanan dan pentadbiran Iran yang dalam persepsi AS tidak tepat dan tersasar.
Di luar jangkaan, Republik Islam Iran melakukan serangan balas ke atas kepentingan AS dan Israel. Pengkalan tentera AS di negara-negara sekutu AS di Asia Barat menjadi sasaran.
Tindakan Iran ini sebagai reaksi pertahanan disebabkan tindakan AS dan Israel ke atas negara itu. Dunia dan badan utama keamanan dunia, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan Majlis Keselamatan PBB tidak mengeluarkan sebarang kenyataan mahupun resolusi atas serangan AS dan Israel ke atas Iran.
Serangan dahsyat pada 28 Februari lalu bukan sahaja membunuh Pemimpin Tertinggi Iran, jeneral tentera malah orang awam (ternasuk kanak-kanak dan pelajar) tidak dikecam oleh badan keamanan dunia seperti yang sepatutnya dilakukan.
Akibat daripada itu, Iran melakukan serangan balas ke atas pengkalan tentera AS di negara-negara sekutu. Serangan peluru berpandu serta dron Iran berjaya mencapai sasaran dan memusnahkan pengkalan tentera AS.
Serangan dan teknologi yang dicapai Iran agak luar biasa (di luar jangkaan AS dan Israel). Jumlah peluru berpandu dan dron yang dilancarkan di luar jangkaan AS serta Israel dari segi jumlah dan kecanggihan teknologi.
Teknologi persenjataan yang dimiliki AS dan Israel gagal mematahkan dan menyekat peluru berpandu Iran daripada sampai ke sasaran. Pertahanan Israel berjaya ditembusi Iran. Peluru berpandu Iran berjaya memusnahkan beberapa bahagian Israel yang mengakibatkan kemusnahan dan kematian rakyatnya.

TEKNOLOGI SENJATA IRAN
Kejayaan ini disebabkan kedudukan pusat pertahanan dan persenjataan Iran berada beribu meter di bawah aras bumi yang tidak dapat dikesan dengan tepat oleh sistem radar teknologi AS.
Strategi dan perancangan pertahanan serta pembuatan teknologi Iran bermula sejak Revolusi Islam Iran 1979 atau lebih awal. Kerjasama teknologi dengan Jerman dan Soviet Union (serta terkini dengan China) pula bermula beberapa dekad lalu.
Pihak Iran bersedia dengan kemungkinan yang satu hari serangan terbuka AS akan berlaku. Sejak daripada 1993 lagi, Iran berjaya membina teknologi jet pejuang Shehab 3 tanpa pemandu yang mencapai tahap kecanggihan pada tahun-tahun itu.
Kemajuan yang dicapai tiga dekad kemudian adalah sesuatu yang tidak pernah terbayang dari segi tahap kecanggihan. Serangan balas yang dilakukan selepas serangan pada 28 Februari itu merupakan pencapaian teknologi luar jangkaan Iran. Ternyata keupayaan teknologi persenjataan Iran kini mencabar kekuatan AS sebagai sebuah kuasa hegemoni.
Dalam realiti yang sepatutnya, Iran dapat dikalahkan oleh kuasa hegemoni AS dengan mudah tetapi berlaku sebaliknya. Iran berjaya melakukan serangan balas berkesan yang sukar dipatahkan AS dan sekutunya Israel. Peperangan sukar ditamatkan mengikut acuan AS sebagai kuasa hegemoni.
Kini, kekuatan AS tercabar dan tidak diendahkan Iran. Genjatan senjata yang ditawarkan disambut oleh Iran dengan syarat-syarat ketat yang mana jika diterima akan memberikan kemenangan besar kepada Iran.
AS sebenarnya berada dalam keadaan sukar menghadapi keupayaan Iran yang di luar jangka. Kos peperangan yang ditanggung begitu membebankan, dan semakin lama konflik ini akan memberi kesan negatif kepada ekonomi AS serta menggoncangkan kedudukannya sebagai sebuah kuasa hegemoni.
AS menghadapi masalah besar kerana terpaksa berdiri sendiri menghadapi Iran, tanpa sokongan terbuka daripada negara kuasa besar lain. Hanya Israel yang berada di pihaknya, manakala anggota utama Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) seperti United Kingdom (UK), Perancis dan Jerman tidak memberikan kerjasama ketenteraan.
Sepanyol pula menyatakan secara jelas tidak akan terlibat dalam konflik ini. Begitu juga sekutu dari Asia Pasifik seperti Jepun, Korea Selatan dan Taiwan berdiam diri, enggan menyertai peperangan melawan Iran.
Pada masa sama, Iran secara tidak langsung mendapat sokongan tersembunyi daripada Russia, China dan beberapa negara Islam.
Apakah akan berlaku satu perubahan struktur kuasa antarabangsa dan percaturan baharu kuasa besar dunia akibat peperangan ini?
Keadaan ini mungkin berlaku kerana sebelum ini AS berjaya mendapat sokongan serta kerjasama daripada negara-negara sekutunya, khususnya anggota NATO, berikutan kedudukan, kekuatan ekonomi dan keunggulan ketenteraannya di peringkat global yang tidak dapat dipertikaikan.
Negara-negara besar utama dunia bersekutu rapat kerana jaminan dan kekuatan yang diberikan AS. Tidak mustahil jika AS menunjukkan tanda-tanda kelemahan yang jelas, menyebabkan negara sekutu yang selama ini bersama akan perlahan-lahan berpaling ke arah lain.
Dalam sistem dunia berasaskan prinsip ‘self-help’ dan pakatan kuasa untuk menjamin survival dalam politik antarabangsa yang bersifat anarki, membolehkan percaturan kuasa baharu bermula dan terbentuk sekiranya AS terbukti lemah serta gagal memberikan perlindungan atau jaminan pertahanan kepada negara-negara yang bergantung kepadanya.
Peperangan dengan Iran mempunyai makna besar dalam percaturan kuasa global serta kesan yang besar kepada ekonomi-politik antarabangsa. Andainya Iran menang dalam peperangan ini (dan AS ternyata lemah), permulaan barustruktur kuasa regional Asia Barat akan bermula. Negara yang selama ini berpihak kepada AS akan berkemungkinan beralih arah ke pihak lain.
Struktur kuasa dan satu pakatan baharu, khususnya di Asia Barat akan berlaku dan mungkin juga akan meluas ke peringkat global.
Perubahan Pakatan kuasa ketenteraan akan turut memberikan kesan besar kepada ekonomi politik global.
Tanpa penguasaan terhadap ekonomi petroleum di Asia Barat menyebabkan kedudukan ekonomi AS akan terjejas, sekali gus menggugat statusnya sebagai kuasa hegemoni dunia.
PROFESOR Madya Dr. Mohd. Noor Yazid ialah Felo Penyelidik Kanan, Kluster Hubungan Antarabangsa dan Politik Borneo, Institut Kajian Orang Asal Borneo (BorIIS), Universiti Malaysia Sabah (UMS), Kota Kinabalu.










