PETALING JAYA: Populasi Malaysia dijangka berkembang sebanyak 2.2 juta orang dalam tempoh lima tahun akan datang, sekali gus mencetuskan peningkatan ketara terhadap permintaan hartanah kediaman di seluruh negara.
Pengasas Bersama dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan IQI, Kashif Ansari berkata, unjuran rasmi menunjukkan jumlah penduduk akan melonjak daripada 34.3 juta ketika ini kepada 36.5 juta menjelang 2030.
“Dengan purata 3.8 orang bagi setiap isi rumah, pertambahan lebih dua juta penduduk baharu ini menyamai keperluan sekitar 582,000 isi rumah baharu, atau purata 116,000 unit setahun. Pertumbuhan populasi ini adalah pemacu utama yang sering terlepas pandang dalam menambah pembeli dan penyewa baharu ke pasaran perumahan,” katanya dalam kenyataan.
Selangor kekal sebagai penyumbang terbesar kepada permintaan perumahan nasional dengan jangkaan pertambahan 382,000 penduduk antara 2025 hingga 2030.
Mengulas lanjut, Kashif berkata, memandangkan 98.5 peratus penduduk Selangor tinggal di kawasan bandar, negeri itu memerlukan lebih banyak pembangunan berorientasikan transit (TOD) dan projek perumahan mampu milik di lokasi pusat.
Selain Selangor, Sabah dan Johor turut mencatatkan unjuran pertumbuhan yang tinggi. Populasi Sabah dijangka melonjak sebanyak 283,000 orang, manakala Johor pula dijangka menambah 279,000 penduduk menjelang 2030.
“Kami percaya populasi Johor boleh berkembang lebih pantas daripada unjuran asal susulan penghijrahan dari negeri lain dan Singapura, didorong oleh Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) serta projek RTS Link. Ini menjadikan Johor salah satu pasaran kediaman paling menarik di Asia Tenggara ketika ini,” katanya.
Kajian itu turut mendedahkan pertumbuhan pesat di Pantai Timur, dengan Kelantan dan Terengganu masing-masing dijangka mencatatkan kadar pertumbuhan lebih 12 peratus.
Kehadiran infrastruktur seperti Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) dilihat bakal memudahkan pembangunan perumahan baharu bagi memenuhi keperluan penduduk yang semakin bertambah di wilayah berkenaan.
Mengulas mengenai trend urbanisasi, Kashif berkata, bahagian rakyat Malaysia yang tinggal di bandar dijangka mencapai 79.3 peratus menjelang 2030.
Proses ini akan melibatkan kira-kira 4.5 juta lebih ramai orang berpindah ke kawasan bandar dalam tempoh sedekad.
“Berdasarkan data ini, kami menjangkakan peningkatan transaksi hartanah sekitar 15 peratus. Pertumbuhan populasi sahaja boleh menyumbang antara 35,000 hingga 46,000 transaksi hartanah setahun, tidak termasuk permintaan daripada pembeli sedia ada, pelabur dan pembeli asing,” tambahnya. –UTUSAN











