KDN tahu keberadaan Victor Chin

KDN tahu keberadaan Victor Chin

SAIFUDDIN NASUTION ISMAIL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Maklumat keberadaan ahli perniagaan, Victor Chin yang dikaitkan dengan isu ‘mafia korporat’ sudah diketahui oleh Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail mengesahkan bahawa keberadaan ahli perniagaan itu sudah dikenal pasti namun enggan berkongsikan maklumat itu buat masa ini.

“Ya, kami tahu di mana dia berada, kita akan bagitahu nanti,” katanya pada sidang akhbar selepas Sambutan Peringatan Hari Polis ke-219 Tahun 2026 di sini hari ini

Jelasnya, siasatan terhadap Victor yang didakwa terbabit dalam manipulasi korporat yang dikaitkan dengan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sedang giat dijalankan membabitkan pelbagai agensi berkuasa.

Katanya, siasatan melibatkan PDRM pula dijalankan di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLA) dan Suruhanjaya Sekuriti (SC).

Tambahnya lagi, sebarang tindakan termasuk penarikan pasport individu berkenaan akan ditentukan selepas pihak berkuasa melengkapkan beberapa prosedur siasatan asas.

“Pertama pasukan AMLA polis dia akan establish dulu hala tuju siasatan. Kemudian kita akan kenal pasti modus operandinya. 

“Kemudian kita akan menghubungi mereka yang terlibat. Jadi sama ada kita akan sampai terus kepada menyekat dokumen perjalanan itu saya akan biarkan proses siasatan dibuat,” katanya.

Semalam, media melaporkan Victor yang sedang disiasat pihak berkuasa berkaitan kes korporat mafia mendakwa seorang Ahli Parlimen PKR meminta bayaran RM10 juta bagi membantu menyelesaikan isu yang didakwanya sebagai skandal mafia korporat, namun baki RM500,000 tidak dibayar kerana masalah itu tidak diselesaikan.

Dakwaan itu turut mencetuskan spekulasi mengenai individu dirujuk sebagai ‘Mr R’ yang dikaitkan dengan urus niaga saham berskala besar.

Terdahulu, bekas Menteri Ekonomi yang juga bekas Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Rafizi Ramli, tampil membuat penafian itu susulan pendedahan dan ancaman oleh Victor untuk mendedahkan identiti individu berkenaan melainkan wang berkenaan dikembalikan kepadanya.

Kemudiannya, Naib Presiden PKR, Datuk Seri R. Ramanan turut menafikan dakwaan beliau sebagai Mr R yang didakwa menerima RM9.5 juta, sambil mempersoalkan logik tuduhan yang dikaitkan dengan ahli perniagaan tersebut. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×