PETALING JAYA: Masa depan ketua jurulatih Harimau Malaya, Peter Cklamovski menjadi persoalan selepas dua sasaran utama yang diberikan kepadanya sehingga kini masih belum dapat dipenuhi.
Peluang Malaysia untuk layak ke Piala Asia 2027 sudah tertutup rapat dan kini tinggal lagi satu sasaran yang perlu dipenuhi jurulatih dari Australia itu dengan memastikan Harimau Malaya berada dalam kelompok 100 dunia terbaik.
Keadaan menjadi sukar buat Cklamovski untuk memenuhi sasaran ditetapkan apabila Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dikenakan denda berhubung skandal pemalsuan dokumen pemain sehingga kesannya terpalit pada Harimau Malaya.
Kontrak Cklamovski dijangka tamat pada tahun itu namun pengendali berusia 47 tahun itu menegaskan dia tetap berhasrat memimpin skuad kebangsaan beraksi di pentas Piala Dunia.
“Saya rasa 12 bulan yang lalu, saya duduk di sini untuk kali pertama di depan anda semua dan berkata, saya ada visi jangka panjang untuk beraksi di Piala Dunia.
“Itu akan menjadi impian yang menakjubkan. Kami mempunyai banyak tugasan yang perlu dilakukan.
“Saya juga berkata ada visi jangka pendek untuk layak ke Piala Asia namun ia telah dirampas daripada kami disebabkan faktor luaran yang tidak berada dalam kawalan kami.
“Jadi ia amat menyakitkan untuk melalui proses itu. Mengecewakan namun situasi itu tidak menjejaskan visi jangka panjang untuk beraksi di Piala Dunia,” katanya.
Malaysia gagal ke Piala Asia 2027 selepas kemenangan dua perlawanan menentang Nepal dan Vietnam dibatalkan berikutan menurunkan pemain yang tidak layak.
Vietnam yang sudah pun mara ke pusingan akhir kejohanan itu akan menerima kunjungan Harimau Malaya bagi aksi terakhir kelayakan di Stadium Thien Truong, Ninh Binh, 31 Mac ini. – UTUSAN










