Sektor perbankan berdepan risiko tidak langsung

Sektor perbankan berdepan risiko tidak langsung

ANTARA bank-bank di Malaysia. - GAMBAR HIASAN.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Sektor perbankan Malaysia berdepan risiko tidak langsung susulan ketegangan geopolitik di Asia Barat yang berpotensi menjejaskan prospek pendapatan industri menerusi kemungkinan pemotongan Kadar Dasar Semalaman (OPR).

CGS International (CGSI) dalam nota penyelidikannya menjelaskan, walaupun impak langsung daripada konflik tersebut adalah sangat minimum, namun kesan rantaian daripada lonjakan harga minyak mentah boleh mempengaruhi keputusan dasar monetari Bank Negara Malaysia (BNM) serta kualiti aset bank.

Penganalisisnya, Winson Ng berkata, sekiranya harga minyak melambung tinggi, BNM mungkin mempertimbangkan pemotongan kadar faedah sebagai langkah tindak balas ekonomi. 

Beliau menganggarkan setiap pengurangan 25 mata asas (bps) dalam OPR boleh menurunkan keuntungan bersih sektor perbankan sebanyak kira-kira 1.6 peratus.

“Penurunan ini berlaku disebabkan penetapan semula harga pinjaman yang lebih pantas berbanding pelarasan pada deposit tetap (FD). 

“Maybank dijangka mengalami susut nilai keuntungan sekitar 1.2 peratus, manakala Bank Islam mungkin menerima impak paling ketara dengan penurunan sebanyak 5.3 peratus bagi setiap 25 bps potongan OPR,” katanya.

Selain faktor OPR, kenaikan kos bahan mentah dan operasi akibat harga minyak yang tinggi berisiko menghakis aliran tunai syarikat, sekali gus menjejaskan keupayaan peminjam untuk membayar balik pinjaman. 

Situasi ini secara teorinya boleh meningkatkan nisbah pinjaman terjejas kasar (GIL) pihak bank.

CGSI menganggarkan setiap 10 peratus kenaikan dalam GIL boleh mengurangkan keuntungan bersih sektor sebanyak 3 peratus. 

“Impak ini dijangka lebih tinggi bagi Affin Bank pada kadar -9.9 peratus, manakala Public Bank dan Hong Leong Bank mencatatkan impak lebih kecil antara -1 peratus hingga -1.2 peratus.

“Bagaimanapun, risiko tersebut dijangka mampu diredakan oleh peruntukan tindanan pengurusan (management overlay) bank yang berjumlah RM4.33 bilion setakat akhir Disember 2025, yang dilihat mencukupi untuk menampung sehingga 37.8 peratus peningkatan dalam GIL,” katanya. 

Di sebalik cabaran tersebut, CGSI mengekalkan pandangan ‘overweight’ terhadap sektor perbankan kerana sifat pendapatannya yang defensif. 

Firma itu turut menamakan AMMB Holdings sebagai antara pilihan utama menggantikan CIMB, selain mengekalkan Maybank dan RHB Bank dalam senarai pilihan mereka. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×