PETALING JAYA: Bintang sensasi Kuala Lumpur City FC (KL City), Safawi Rasid tekad untuk memastikan kemenangan berpihak kepada Harimau Malaya dalam aksi terakhir kelayakan Piala Asia 2027 menentang Vietnam, 31 Mac ini.
Tonggak Harimau Malaya itu berkata, walaupun peluang untuk layak ke pusingan akhir Piala Asia sudah tertutup namun maruah negara perlu dipertahankan.
“Untuk perlawanan terakhir ini, sudah tentu (melibatkan) maruah, walaupun tak layak saya rasa pemain berada dalam keadaan terbaik bagi dapatkan keputusan positif sebab kita main di tempat lawan.
“Setiap pemain tak boleh ambil mudah untuk cabaran ini, kita perlu dapatkan tiga mata,” katanya.
Ketika ditanya sama ada beraksi di tempat lawan menjadi cabaran getir buat Harimau Malaya, pemain dari Terengganu itu menafikannya sebaliknya percaya dengan barisan pemain yang dipilih oleh Peter Cklamovski.
“Tidak. Kita ada pemain yang berpengalaman. Bagi kami tiada masalah (main di tempat lawan), pemain hanya perlu berikan yang terbaik,” katanya.
Sementara itu, pertahanan Johor Darul Ta’zim (JDT), Syahmi Safari yang kembali menyarung jersi Harimau Malaya selepas dua tahun tetap menganggap aksi tersebut penting terutamanya bagi mendapatkan mata untuk memperbaiki ranking skuad kebangsaan.
“Keputusan perlawanan akan memberi kesan kepada kutipan mata ranking. Ini peluang terbaik untuk kita dapatkan keputusan positif, terutamanya memperoleh kemenangan.
“Apa-apa perkara (di luar padang) tolak tepi sebab itu bukan tugas kami. Sebagai pemain, kami akan berikan yang terbaik untuk pasukan,” katanya. – UTUSAN










