Harga emas dunia susut sehingga RM549 segram

Harga emas dunia susut sehingga RM549 segram

HARGA emas merosot terendah dalam tempoh empat bulan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA:  Harga emas susut lebih tiga peratus semalam,  paras terendah kira-kira empat bulan, mencecah AS$4,340.09 seauns (RM549 segram), di tengah-tengah tekanan inflasi dan jangkaan kadar faedah global yang lebih tinggi susulan konflik memuncak di Asia Barat.

Pada pukul 9 pagi, emas dibuka pada A$4,348.20 seauns (RM550.70 segram). 

Penurunan itu turut menyaksikan emas merosot lebih 10 peratus minggu lalu, manakala niaga hadapan emas Amerika Syarikat (AS) bagi penghantaran April susut lima peratus kepada AS$4,347.

Pada pukul 7.44 malam waktu New York, Sabtu lalu, Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump memberikan tempoh dua hari kepada Iran untuk membuka semula Selat Hormuz atau berhadapan ancaman pengeboman loji janakuasa negara itu. 

Iran membalas dengan amaran akan menutup laluan strategik tersebut ‘sepenuhnya’ serta menyasarkan infrastruktur tenaga, teknologi maklumat dan penyahgaraman jika kemudahan kuasanya diserang. 

Situasi itu mengekalkan harga minyak mentah melebihi AS$110  (RM433.06) setong, yang berpotensi meningkatkan tekanan inflasi melalui kos pengangkutan dan pembuatan yang lebih tinggi.

Walaupun inflasi lazimnya meningkatkan daya tarikan emas sebagai aset lindung nilai, persekitaran kadar faedah tinggi ketika ini mengehadkan permintaan terhadap logam berharga tersebut.

Sementara itu, jangkaan pasaran terhadap kenaikan kadar faedah oleh Rizab Persekutuan (Fed) AS semakin meningkat, dengan kebarangkalian kenaikan kadar sekitar 27 peratus menjelang Disember, menurut CME FedWatch.

Pensyarah Kanan, Jabatan Ekonomi dan Pengajian Kewangan, Fakulti Perniagaan dan Pengurusan, UiTM, Dr. Mohamad Idham Md. Razak berkata, kejatuhan harga emas ketika ini didorong oleh gabungan faktor global termasuk pengukuhan dolar AS, dasar kadar faedah yang kekal tinggi serta perubahan sentimen pelabur.

Menurut beliau, pengukuhan dolar AS menjadikan emas lebih mahal kepada pemegang mata wang lain, sekali gus mengurangkan permintaan global terhadap logam berharga itu.

“Dalam masa sama, kadar faedah yang tinggi menyebabkan pelabur lebih cenderung beralih kepada aset yang menawarkan pulangan seperti bon dan deposit tetap, berbanding emas yang tidak memberikan pulangan berkala.

“Sentimen pasaran juga kini lebih kepada ‘risk-on’, dengan pelabur memilih aset berisiko seperti ekuiti global yang dilihat mampu menjana pulangan lebih tinggi,” katanya kepada Utusan Malaysia. 

Sementara itu, Pensyarah Kanan Ekonomi dan Perbankan, Fakulti Ekonomi dan Muamalat Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Dr. Mohd. Faisol Ibrahim berkata, pergerakan harga emas yang menurun ketika ini memberi kesan bercampur kepada pelabur runcit di Malaysia, khususnya mereka yang menjadikan emas sebagai instrumen lindung nilai.

Menurut beliau, pelabur yang membeli emas pada harga lebih tinggi sebelum ini berdepan penyusutan nilai pegangan dalam jangka pendek, namun bagi pelabur jangka panjang, emas masih relevan sebagai pelindung nilai terhadap inflasi dan ketidaktentuan ekonomi.

“Emas secara tradisinya berfungsi sebagai ‘safe haven’, tetapi dalam keadaan semasa, faktor kadar faedah tinggi telah mengurangkan daya tarikannya buat sementara waktu,” katanya.

Tambah beliau, dalam tempoh terdekat, harga emas dijangka bergerak dalam julat tertentu berikutan ketidaktentuan pasaran global yang masih tinggi.

Katanya, berdasarkan faktor semasa termasuk kekuatan dolar AS dan jangkaan kadar faedah yang kekal tinggi, harga emas berkemungkinan berlegar sekitar AS$4,200 hingga AS$4,500 seauns, bersamaan kira-kira RM530 hingga RM570 segram dalam jangka pendek.

“Pergerakan ini mencerminkan fasa penyatuan selepas kejatuhan ketara sebelum ini, di mana pasaran sedang mencari hala tuju yang lebih jelas,” katanya.

Beliau berkata, sebarang perkembangan berkaitan dasar Fed AS, data inflasi global serta ketegangan geopolitik akan menjadi pemangkin utama yang boleh menentukan sama ada harga emas menembusi julat tersebut atau sebaliknya.

“Jika tekanan kadar faedah berterusan, harga emas berpotensi menguji paras lebih rendah, namun jika risiko geopolitik meningkat atau inflasi kekal tinggi, harga boleh kembali menghampiri paras lebih tinggi dalam julat itu,” katanya.

Selain emas, logam berharga lain turut mencatat penurunan dengan perak spot susut 3.3 peratus kepada AS$65.55 (RM258.23) seauns, platinum spot jatuh 4.4 peratus kepada AS$1,838.45 (RM7,282.47) manakala paladium turun 0.4 peratus kepada AS$1,398.50 (RM5,507.11). – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×