Konflik Asia Barat: Harga MSM dijangka naik RM5,000 setan

Konflik Asia Barat: Harga MSM dijangka naik hingga RM5,000 setan

GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Harga minyak sawit mentah (MSM) berpotensi bergerak dalam julat RM4,500 hingga RM5,000 satu tan dalam tempoh terdekat dan berkemungkinan kekal pada paras tersebut sekurang-kurangnya sehingga pertengahan tahun 2026, susulan konflik berterusan di Asia Barat.

Ketua Pengarah Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB), Datuk Dr. Ahmad Parveez Ghulam Kadir berkata, pergerakan harga ini juga bergantung kepada perkembangan bekalan dan permintaan global.

Katanya, ketidaktentuan geopolitik susulan konflik di Asia Barat yang berpotensi berlarutan turut menyokong sentimen pasaran komoditi. 

Memuatkan artikel berkaitan…

“Jika dilihat daripada faktor asas industri sawit, ketika ini merupakan musim pengeluaran tandan buah segar (TBS) yang rendah, manakala stok minyak sawit juga telah mula menyusut ke bawah paras 3.0 juta tan dan dijangka terus berkurangan dalam tempoh terdekat. 

“Pada masa yang sama, harga minyak kacang soya turut mencatatkan peningkatan yang ketara, sekali gus menjadikan harga minyak sawit lebih kompetitif di pasaran minyak sayuran global,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.

Ahmad Parveez berkata, konflik di Asia Barat berikutan tindakan ketenteraan yang melibatkan Israel dan Amerika Syarikat (AS) terhadap Iran yang bermula pada 28 Februari 2026 telah meningkatkan risiko keselamatan di kawasan pengeluaran dan laluan penghantaran minyak global. 

Menurutnya, laluan laut strategik seperti Selat Hormuz memainkan peranan penting dalam perdagangan minyak dunia memandangkan hampir satu perlima bekalan minyak global melalui laluan tersebut. 

Jelasnya, sebarang gangguan terhadap laluan ini boleh menimbulkan ketidaktentuan dalam bekalan minyak mentah global, sekali gus mempengaruhi pergerakan harga komoditi lain termasuk minyak sawit.

“Sebagai perbandingan, pada Mac 2022 harga minyak mentah Brent (BCO) pernah meningkat sehingga menghampiri AS$140 (RM551.47) setong berikutan pencerobohan Rusia ke atas Ukraine yang menimbulkan kebimbangan terhadap gangguan bekalan minyak global, sekali gus mendorong harga MSM melonjak melebihi RM6,000 satu tan. 

“Dalam senario semasa, konflik terkini di Asia Barat turut menyokong peningkatan harga BCO melebihi AS$100 (RM395.97) setong. Seiring dengan itu, harga MSM meningkat kepada RM4,408.00 satu tan pada 9 Mac 2026 berbanding RM3,956.50 satu tan pada 27 Februari 2026, atau peningkatan hampir 12 peratus,” ujarnya.

Beliau berkata, peningkatan ketara harga minyak sawit sudah tentu memberi manfaat kepada keseluruhan rantaian bekalan industri sawit dengan nilai eksport minyak sawit dijangka meningkat dan seterusnya menyumbang kepada pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia yang lebih tinggi. 

Tambahnya, peningkatan harga komoditi turut memberi kesan positif kepada pendapatan pekebun kecil kerana harga TBS yang dijual oleh pekebun kecil juga akan meningkat. 

“Hal ini membantu meningkatkan pendapatan dan taraf hidup pekebun kecil serta merangsang aktiviti ekonomi di kawasan luar bandar. Dari segi daya saing di pasaran global, minyak sawit masih kekal kompetitif memandangkan harga minyak pesaingnya, terutamanya minyak kacang soya, turut meningkat di pasaran dunia. 

“Selain itu, harga komoditi yang tinggi juga membuka peluang kepada industri untuk memperluaskan penggunaan minyak sawit dalam sektor tenaga seperti biodiesel dan bahan api mampan. 

“Peningkatan permintaan dalam sektor ini boleh mewujudkan pasaran baharu dan meningkatkan penggunaan minyak sawit dalam jangka panjang,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN