Urimai gesa dedah hasil kenaikan harga minyak

Urimai gesa dedah hasil kenaikan harga minyak

P. RAMASAMY
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kerajaan digesa bersikap lebih telus dengan mendedahkan pendapatan Petroliam Nasional Berhad (Petronas) daripada eksport petroleum dan gas asli cecair (LNG) susulan konflik di Asia Barat.

Pengerusi Urimai, P. Ramasamy berkata, sehingga hari ini Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim masih belum mendedahkan maklumat terperinci berkaitan hasil negara kepada umum.

Katanya, perkara itu menimbulkan persoalan memandangkan Perdana Menteri sebelum ini memaklumkan kenaikan harga RON95, RON97 dan diesel berpunca daripada konflik Amerika Syarikat–Iran yang menjejaskan laluan perkapalan di Selat Hormuz.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Lonjakan harga bahan api memberi tekanan kepada subsidi kerajaan yang kini meningkat daripada RM700 juta kepada RM3.2 bilion.

“Namun, rakyat masih tertanya-tanya mengapa subsidi petrol tidak dilaksanakan secara bersasar, berbanding subsidi diesel yang mengambil kira status sosial dan ekonomi penerima,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, beliau turut mempersoalkan sama ada kerajaan mengekalkan subsidi petrol secara menyeluruh bagi tujuan meraih sokongan rakyat memandangkan pendekatan tersebut dilihat tidak jelas dari segi dasar.

Katanya, konflik di Asia Barat berkemungkinan meningkatkan keuntungan Petronas melalui eksport petroleum mentah dan LNG, namun perkara itu tidak diperincikan kepada rakyat.

“Rakyat Malaysia berhak mengetahui sama ada berlaku peningkatan keuntungan, sama ada dari segi nilai kasar mahupun bersih.

“Keuntungan tersebut sepatutnya boleh digunakan untuk mengimbangi kesan kenaikan harga bahan api,” ujarnya.

Tambah beliau, meskipun faktor geopolitik di Selat Hormuz diakui memberi kesan kepada harga global, kerajaan perlu memperincikan langkah susulan termasuk mekanisme subsidi agar tidak membebankan rakyat.

“Penjelasan semata-mata tanpa pendedahan penuh mengenai eksport dan import bahan api tidak mencukupi,” katanya.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini