Kejayaan luar biasa usahawan, pemimpin dan organisasi yang memberi impak besar kepada masyarakat serta negara diiktiraf melalui The Asia Records.
Pengiktirafan ini bukan sekadar menonjolkan pencapaian gemilang dalam pelbagai bidang, malah mengangkat peranan penting mereka dalam memacu pembangunan, inovasi dan kesejahteraan masyarakat di rantau ini.
Pengasas dan Pengerusi Penganjur The Asia Records, Dato KK Chua berkata, pihaknya berbangga dengan sambutan yang diterima terhadap inisiatif tersebut.
Menurutnya, usaha itu buka sahaja dapat membina komuniti yang mencipta impak, malah berani mencabar norma dan meninggalkan legasi berkekalan.
“Sambutan menggalakkan ini menunjukkan yang rantau ini dahagakan pengiktirafan bermakna terhadap pencapaian mereka,” katanya dalam majlis baru-baru ini.
Jelasnya lagi, tahun ini kumpulan pemegang rekod menampilkan nama-nama berpengaruh di peringkat global dan serantau merentasi pelbagai industri seperti Amazon, Starbucks, iQIYI dan Batik Air.
Dalam majlis itu, beliau turut melancarkan buku arkib rasmi pertama organisasi tersebut, The Asia Records Book of Achievements 2025/2026.
Arkib itu merekodkan pencapaian luar biasa organisasi dan individu di seluruh Asia selain berfungsi sebagai penanda aras kepada pemimpin dan perusahaan masa hadapan.
Menurutnya, pemilihan penerima dibuat melalui proses pencalonan terbuka, diikuti penilaian pakar berdasarkan kriteria telus merangkumi impak, inovasi, kebolehskalaan, kelestarian dan integriti.
Selain itu, proses pengesahan turut dijalankan oleh panel bebas dan jawatankuasa pemantau bagi memastikan kredibiliti serta ketelusan.











