PETALING JAYA: Kesilapan menanda Cukai Ditanggung Oleh Majikan secara tidak sengaja tidak perlu pindaan Borang Nyata Cukai Pendapatan (BNCP) Tahun Taksiran 2025.
Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) berkata, semakan telah dilaksanakan dan kes yang terlibat berjaya dikenal pasti.
“LHDN mengambil maklum bahawa terdapat pembayar cukai individu yang telah menandakan ruangan Cukai Ditanggung Oleh Majikan secara tidak sengaja semasa mengisi BNCP Tahun Taksiran 2025 dan menyebabkan bayaran balik lebihan cukai masih belum diterima.
“Bagi kes yang disahkan sebagai kesilapan penandaan, bayaran balik lebihan cukai akan diproses secara berperingkat oleh LHDN,” katanya dalam kenyataan hari ini.
LHDN memaklumkan sistem pemprosesan bayaran balik cukai dilaksanakan secara automatik berdasarkan maklumat yang dikemukakan oleh pembayar cukai dalam BNCP.
“Oleh itu, ketepatan maklumat yang diisikan adalah penting bagi memastikan proses bayaran balik dapat dilaksanakan dengan lancar dan tanpa sebarang kelewatan,” katanya.
Menurut kenyataan itu, LHDN komited untuk terus memastikan pengurusan bayaran balik cukai dilaksanakan secara adil, telus dan berintegriti selaras dengan usaha berterusan untuk memperkukuh kecekapan pentadbiran percukaian negara.-UTUSAN











