SANTIAGO: Presiden baharu Chile, Jose Antonio Kast menyelia pembinaan tembok di sepanjang sempadan utara negara itu, sebagai sebahagian daripada tindakan tegas terhadap imigresen haram.
Langkah itu diumumkan kurang seminggu selepas beliau memegang jawatan, mencerminkan pendekatan lebih tegas dalam keselamatan sempadan dan peningkatan kebimbangan orang ramai terhadap jenayah.
Tidak sampai seminggu selepas pelantikannya, presiden konservatif itu pada Isnin mula menyelia persiapan untuk membina penghalang sempadan yang merupakan sebahagian daripada janji kempen utamanya untuk menyekat pendatang menyeberangi sempadan secara haram.
Dari kawasan sempadan utara Chile, Chacalluta, di mana ramai pendatang menyeberangi sempadan Peru ke sebuah negara paling makmur di rantau itu, Kast berikrar untuk melaksanakan rancangan yang dipanggilnya sebagai ‘Perisai Sempadan’.
Antara langkah yang dirancang adalah pembinaan penghalang fizikal di sempadan utara negara yang terdiri daripada parit, pagar dan dipantau menggunakan dron serta pasukan tentera.
Setakat ini, projek tembok sempadan yang diumumkan Kast masih bergerak perlahan, namun beliau memberi jaminan kepada rakyat Chile bahawa pembinaannya merupakan satu langkah bersejarah.
“Kami membuat keputusan yang jelas dan konkrit untuk menutup sempadan daripada imigresen haram, penyeludupan dadah dan jenayah terancang. Kami mahu melaksanakan ini tanpa sebarang kelewatan,” katanya. – AGENSI









