Pakistan nafi bedil pusat pemulihan dadah di Kabul - Utusan Malaysia

Pakistan nafi bedil pusat pemulihan dadah di Kabul

ANGGOTA keselamatan Taliban memeriksa tapak serangan udara Pakistan yang melanda Pusat Perkhidmatan Pemulihan Sekunder di Kabul, semalam.- AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KABUL: Afghanistan menuduh Pakistan melakukan serangan udara ke atas sebuah pusat pemulihan dadah di Kabul, yang menurut pegawai Taliban mengorbankan sekurang-kurangnya 400 orang.

Sejak Februari lalu, Pakistan dilaporkan menyerang kem-kem yang didakwa milik pengganas di Afghanistan, dengan menuduh kerajaan Taliban menyokong serangan di wilayah negara itu.

Taliban menafikan sebarang penglibatan dalam siri serangan pengganas di negara itu.

Jurucakap kerajaan Taliban, Hamdullah Fitrat berkata, serangan pada Isnin itu memusnahkan sebahagian besar Hospital Rawatan Ketagihan Omid, Kabul.

“Malangnya, bilangan mangsa maut setakat ini mencecah 400 orang, manakala kira-kira 250 lagi dilaporkan cedera,” kata Fitrat di X.

Media Afghanistan turut menyiarkan video menunjukkan sebuah bangunan terbakar.

Kementerian Penerangan Pakistan menolak tuduhan serangan tersebut sebagai palsu dan mengelirukan.

Kementerian itu berkata, Pakistan menyasarkan lokasi ketenteraan dan infrastruktur sokongan pengganas, termasuk depot peluru di Kabul serta wilayah timur laut Afghanistan, Nangarhar.

“Laporan salah fakta ini mengenai pusat pemulihan dadah bertujuan membangkitkan sentimen awam sambil menutup sokongan tidak sah terhadap pengganas rentas sempadan,” tulis kementerian itu di X.

Pakistan sejak lama menuduh Afghanistan memberi perlindungan kepada kumpulan bersenjata yang melancarkan serangan dan pencerobohan rentas sempadan, termasuk letupan masjid di Islamabad pada Februari yang meragut lebih 30 nyawa.

Taliban menafikan memberi bantuan kepada militan yang menyerang negara jirannya.- AGENSI

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×