Polis rampas 20.23kg dadah bernilai RM1.01 juta - Utusan Malaysia

Polis rampas 20.23kg dadah bernilai RM1.01 juta

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Tindakan seorang pengedar menjadikan Perodua Alza sebagai stor simpanan dadah berjumlah RM1.01 juta untuk pasaran bandar raya ini terbongkar apabila seorang ahli sindiketnya ditahan, Sabtu lalu.

Ketua Polis Johor, Datuk Ab. Rahaman Arsad berkata, suspek berusia 36 tahun, ditahan sepasukan pegawai dan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor di sekitar bandar raya ini pada pukul 7.40 malam.

“Serbuan dijalankan di sebuah rumah teres di Taman Mount Austin di sini. Anggota juga mendapati sebuah kereta Perodua Alza berwarna biru parkir di kawasan kediaman tersebut.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Pemeriksaan lanjut mendapati 21 bungkusan disyaki berisi dadah jenis syabu seberat 20.23 kilogram bernilai RM1.01 juta,” katanya dalam sidang akhbar di IPK Johor, di sini hari ini.

Tambah Ab. Rahaman, modus operandi digunakan pengedar adalah menjadikan kenderaan tersebut sebagai stor penyimpanan dadah sebelum digunakan untuk menjual dadah kepada penagih dan pengunjung pusat hiburan.

“Pemilik kenderaan seorang lelaki beralamat di Sungai Petani, Kedah sebelum dijual kepada pihak lain. Kenderaan itu kemudiannya disalahgunakan suspek untuk mengedar dadah.

“Sindiket dipercayai telah aktif sejak Disember lalu. Jika dadah tersebut dibiarkan di pasaran, ia boleh digunakan seramai 101,140 penagih,” katanya.

Beliau memberitahu, suspek direman sehingga lusa bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

“Semakan lampau mendapati, suspek mempunyai tujuh kesalahan lampau bersabit jenayah dan dadah. Ujian urin suspek bagaimanapun negatif penyalahgunaan dadah,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini