DUBAI: Seorang wanita di Abu Dhabi telah diperintahkan oleh mahkamah untuk membayar ganti rugi sebanyak Dh50,000 (RM53,628) selepas didapati bersalah melanggar privasi seorang wanita lain dengan menyiarkan gambarnya di Instagram tanpa kebenaran.
Mahkamah Kes Keluarga, Sivil dan Pentadbiran Abu Dhabi memutuskan bahawa defendan secara tidak sah telah menggunakan teknologi maklumat untuk menyebarkan imej tersebut tanpa kelulusan plaintif, sehingga melangkaui peruntukan undang-undang yang dibenarkan.
Menurut rekod mahkamah, plaintif pada asalnya memfailkan tuntutan sivil sebanyak Dh100,000 (RM107,260) sebagai pampasan atas kerugian material dan moral.
Beliau mendakwa tindakan menyalahi undang-undang itu telah menyebabkan gangguan psikologi, kerosakan reputasi dan memalukan maruah sosialnya.
Kes sivil ini menyusul selepas keputusan mahkamah jenayah sebelum ini yang mensabitkan defendan dengan hukuman denda Dh50,000 (RM53,628), perintah memadam imej tersebut dengan serta-merta dan larangan menggunakan rangkaian dalam talian selama tiga bulan.
Mahkamah memutuskan bahawa tindakan defendan terbukti mendatangkan kecederaan moral dengan menceroboh privasi dan maruah peribadi plaintif.
Penghakiman tersebut turut menyatakan bahawa penyebaran imej tanpa izin di platform media sosial mendedahkan mangsa kepada tekanan perasaan dan rasa terhina kerana sifat media sosial yang membolehkan kandungan dikongsi serta ditularkan secara meluas.
Dalam hujah penghakimannya, mahkamah menjelaskan bahawa kerugian bukan material seperti ini tidak boleh dinilai berdasarkan standard kewangan yang tetap.
Sebaliknya, ia harus ditentukan berdasarkan keadaan setiap kes, termasuk tahap serius perbuatan tersebut, kesan kemudaratan dan hubung kait antara tindakan salah itu dengan kerugian yang dialami.
Mahkamah menyimpulkan bahawa pampasan kewangan sebanyak Dh50,000 (RM53,628) adalah adil dan setara dengan pelanggaran yang berlaku bagi memulihkan kemudaratan moral yang disahkan berpunca daripada pencerobohan privasi tersebut. – AGENSI










