KLANG: Menteri Pengangkutan, Anthony Loke optimis konflik di Asia Barat memberi kelebihan kepada pelabuhan di negara ini meningkatkan pertambahan masuk bilangan kontena.
Beliau berkata, penutupan Selat Hormuz juga akan mengakibatkan kesan kepada rantaian bekalan global dan pergerakan perdagangan antarabangsa yang kebiasaannya melalui pelabuhan-pelabuhan seperti di Jebel Ali, Khalifah Port, Salalah Bay dan Muscat.
Katanya, operator pelabuhan diarahkan agar bersiap sedia menghadapi peningkatan bilangan kontena di pelabuhan masing-masing.
“Pelabuhan-pelabuhan negara kita harus berusaha mengambil peluang ini menambahkan pengendalian kargo. Kita haruslah sentiasa membuat perancangan yang sewajarnya agar pelabuhan-pelabuhan negara tidak menghadapi kesesakan.
“Saya juga mengarahkan supaya kontena-kontena kosong tidak disimpan di yad-yad pelabuhan dan sebaliknya dipindahkan terus ke depoh-depoh diluar pelabuhan,” katanya ketika ditemui pada Majlis Perasmian Bangunan Annex dan Sambutan Tahun Baru Cina serta Iftar Perdana Lembaga Pelabuhan Klang, semalam.
Loke turut menjelaskan, Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) juga diarahkan untuk memastikan depoh-depoh diluar pelabuhan beroperasi 24 jam selari dengan waktu operasi pelabuhan bagi mengelakkan gangguan kesesakan di pelabuhan.
Malah beliau juga optimis Pelabuhan Klang akan kekal dalam kedudukan dalam senarai 10 di Liga Pelabuhan Kontena Dunia.
“Bagi tahun 2026, saya dimaklumkan Pelabuhan Klang menyasarkan peningkatan kontena sebanyak 1.5 peratus iaitu bersamaan jumlah kendalian 15.37 juta TEUs.
“Sasaran ini dilihat realistik melalui sokongan pertumbuhan positif ekonomi domestik, pembangunan projek-projek infrastruktur, pertumbuhan kargo melalui sektor pembuatan, logistik dan dasar-dasar kerajaan yang lebih mesra kepada perdagangan terutama sekali dalam sektor logistik,” ujarnya.
Walaupun dalam ketidaktentuan ekonomi global, Pelabuhan Klang tetap berjaya mencipta rekod baru tahun lalu, apabila mencatatkan jumlah pengendalian kontena sebanyak 15.14 juta TEUs, peningkatan sebanyak 3.4 peratus atau 14.64 juta TEUs berbanding 2024.
Jumlah itu katanya adalah kendalian tertinggi kontena sejak Pelabuhan Klang memulakan operasi pada tahun 1973. – UTUSAN










