REHDA Institute ketuai misi kajian sektor perumahan ke UK

REHDA Institute ketuai misi kajian sektor perumahan ke UK

JEFFREY Ng Tiong Lip (enam dari kanan) bergambar bersama pemegang amanah Institut REHDA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: REHDA Institute mengetuai delegasi pemimpin sektor perumahan dan hartanah Malaysia dalam satu misi kajian ke United Kingdom (UK) dari 19 hingga 25 Mac ini.

Misi peringkat tinggi itu bertujuan memberi pendedahan kepada peserta mengenai model global penjanaan semula bandar secara mampan, pembangunan berorientasikan transit (TOD) serta reformasi perumahan progresif.

Pengerusi REHDA Institute, Datuk Jeffrey Ng Tiong Lip berkata, lawatan kajian itu penting bagi mendapatkan pandangan antarabangsa yang kritikal serta memahami amalan dan penanda aras terbaik yang boleh disesuaikan.

“Ini untuk meningkatkan modal insan serta kepakaran Malaysia dalam sektor perumahan dan persekitaran binaan.

“Ketika landskap bandar kita terus berkembang dan menjadi semakin kompleks, pihak berkepentingan industri memerlukan pengetahuan praktikal yang mendalam.

“Ia turut merangkumi strategi inovatif dalam perancangan bandar dan penjanaan semula, pemuliharaan warisan serta penyediaan perumahan awam dan sosial.

“Melalui penglibatan secara langsung dengan pembuat dasar dan pakar di United Kingdom (UK), kita memperkasa pemimpin industri untuk mewujudkan bandar Malaysia yang lebih berdaya tahan, selesa didiami dan dibangunkan secara strategik,” katanya dalam kenyataan.

Program intensif itu merangkumi penyertaan dalam empat forum strategik di seluruh UK.

Inisiatif tersebut dilaksanakan ketika Malaysia sedang mempergiat pelaksanaan rangka kerja penjanaan semula bandar, melaksanakan reformasi undang-undang strata serta merangka dasar bagi mengurangkan kesesakan, menggalakkan penggunaan pengangkutan awam dan meningkatkan tahap kebolehdiaman di semua sektor perumahan.

Delegasi yang terdiri daripada pemaju kanan, perancang bandar, pakar perundangan serta wakil kerajaan akan berinteraksi secara langsung dengan pembuat dasar UK, firma seni bina terkemuka dan institusi akademik utama.

Pertukaran tersebut dijangka meningkatkan pemahaman terhadap amalan terbaik antarabangsa dalam strategi penjanaan semula, perancangan bandar bersepadu serta penyediaan penyelesaian perumahan mampu milik secara lebih cekap.

Sementara itu, di London, delegasi akan berinteraksi dengan firma seni bina Foster + Partners bagi membincangkan pembangunan berorientasikan transit, penjanaan semula bandar serta strategi perancangan, selain bertemu Timbalan Datuk Bandar London bagi Perumahan dan Pembangunan Kediaman, Tom Copley.

Satu lagi forum di London yang dianjurkan oleh Trowers & Hamlins akan meneliti undang-undang penjanaan semula bandar di UK serta rangka kerja tadbir urus, sekali gus memberi pandangan perbandingan kepada reformasi yang sedang dilaksanakan di Malaysia.

Delegasi kemudian akan ke Bath bagi menghadiri Forum Kelestarian dan Pengurusan Air yang dianjurkan oleh Wessex Water dengan kerjasama YTL Developments bagi meneroka pembangunan infrastruktur mampan.

Perjalanan tersebut akan berakhir di Cambridge menerusi Forum Perumahan dan Perancangan Bandar yang dianjurkan bersama University of Cambridge dan Anglia Ruskin University bagi menggalakkan pertukaran pengetahuan mengenai inovasi perancangan dan penyampaian perumahan mampan.

Sementara itu, Pemegang Amanah REHDA Institute, Tan Sri Eddy Chen berkata, forum di Cambridge itu penting kerana ia menghimpunkan pemimpin kerajaan dan industri Malaysia bersama pakar dari University of Cambridge dan Anglia Ruskin University.

“Ia dalam usaha memperkukuh pertukaran ilmu antarabangsa bagi menangani cabaran perumahan jangka panjang serta pembangunan bandar mampan yang penting kepada pembinaan negara,” ujarnya.

Selain forum tersebut, delegasi turut akan melakukan lawatan tapak ke beberapa pembangunan utama di United Kingdom.

Antaranya termasuk projek yang diterajui syarikat Malaysia di peringkat antarabangsa seperti Embassy Gardens oleh EcoWorld Development Group Berhad, Royal Mint Gardens oleh IJM Corporation Berhad, Brabazon oleh YTL Developments serta penginapan pelajar Woolwich oleh Gamuda Land.

Lawatan ini dijangka memberi pandangan praktikal secara langsung mengenai projek penjanaan semula berskala besar, penggunaan semula bangunan secara adaptif, model perumahan sewaan khusus.

Ini turut merangkumi pembangunan daerah bandar bersepadu yang boleh dijadikan rujukan kepada keutamaan pembangunan semula bandar dan perumahan di Malaysia. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×