Tahun Satu umur enam tahun, bersediakah Malaysia?

Tahun Satu umur enam tahun, bersediakah Malaysia?

NOR SAIDATUL RAJEAH ZAMZAM AMIN.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KEPUTUSAN membenarkan kemasukan murid ke Tahun Satu pada usia enam tahun menimbulkan pelbagai reaksi dalam kalangan masyarakat.

Sebahagian ibu bapa menyambut baik inisiatif tersebut sebagai langkah memperkukuh sistem pendidikan negara. Walau bagaimanapun, terdapat juga pihak yang melihatnya sebagai keputusan yang dibuat terlalu cepat untuk dilaksanakan seawal tahun hadapan, meskipun ia masih bersifat pilihan dan belum diwajibkan.

Tidak kurang juga yang mempersoalkan sama ada Malaysia benar-benar bersedia melaksanakan dasar tersebut atau sekadar mahu menyelaraskan sistem pendidikan negara dengan amalan di negara lain yang telah lama memulakan persekolahan pada usia lebih awal.

Antara kebimbangan yang dibangkitkan termasuk isu kesesakan sekolah, kemudahan infrastruktur yang terhad serta persoalan kecukupan guru bagi memastikan pelaksanaan dasar itu tidak menjejaskan mutu pembelajaran murid.

Bagi mendapatkan penjelasan lanjut mengenai rasional pelaksanaan dasar, perancangan serta tahap kesediaan Kementerian Pendidikan (KPM) melaksanakan inisiatif tersebut, wartawan Utusan Malaysia, MAISARAH SHEIKH RAHIM dan AQILAH MIOR KAMARULBAID bersama jurufoto, SADDAM YUSOF menemu bual Pengarah Bahagian Perancangan dan Penyelidikan Dasar Pendidikan (BPPDP) di KPM, DR. NOR SAIDATUL RAJEAH ZAMZAM AMIN.

 


UTUSAN: Apa yang mendorong KPM memulakan persekolahan pada usia enam tahun?

NOR SAIDATUL: Terdapat beberapa faktor utama yang mendorong kepada cadangan ini.

Pertama, KPM melihat kepada dasar kerajaan sedia ada serta dasar baharu yang diperkenalkan. Dalam Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13), terdapat cadangan supaya umur kemasukan murid ke Tahun Satu diawalkan.

Cadangan ini membolehkan murid mendaftar lebih awal, iaitu ketika berusia enam tahun atau lima tahun lebih. Ketika ini, dasar sedia ada adalah kemasukan Tahun Satu pada usia tujuh tahun atau enam tahun lebih.

Kedua, cadangan ini juga selaras dengan prakarsa dalam Rancangan Pendidikan Malaysia (RPM) 2026-2035. Cadangan untuk memulakan persekolahan setahun lebih awal telah didokumenkan dalam kedua-dua perancangan ini.

Ketiga, kita membuat perbandingan dengan negara lain melalui kaedah penandaarasan (benchmarking). Menurut data Institut Statistik (UIS) Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan (UNESCO), kebanyakan negara melaksanakan kemasukan ke pendidikan rendah pada usia enam tahun atau lima tahun lebih.

Oleh itu, sudah tiba masanya untuk Malaysia membuat penyesuaian sistem pendidikan agar selaras dengan amalan global.

Keempat, kita juga mengambil kira perubahan demografi penduduk yang menunjukkan data populasi warga emas semakin meningkat. Situasi ini menunjukkan Malaysia sedang menuju ke arah negara menua.

Dengan jangka hayat penduduk yang lebih panjang, kita perlu menyediakan pendidikan yang bermutu kepada masyarakat bermula dari umur yang lebih awal agar mereka dipersiapkan dengan ilmu dan kemahiran untuk kelangsungan hidup yang lebih sejahtera.

Selain itu, pelaksanaan dasar ini turut mengambil kira tahap kesediaan kanak-kanak masa kini yang menunjukkan perkembangan kognitif dan sosioemosi yang lebih matang.

Namun begitu, kemasukan ke Tahun Satu bagi kanak-kanak berumur 6 tahun masih bersifat pilihan dan ibu bapa haruslah menilai tahap kesediaan anak masing-masing sebelum mendaftarkan persekolahan lebih awal.

Adakah keputusan ini dibuat semata-mata untuk mengikut negara lain atau berdasarkan kajian yang menunjukkan Malaysia sudah bersedia?

Perbandingan dengan negara lain adalah sebagai tanda arah dengan amalan antarabangsa dan bukanlah sebagai faktor penentu mahu pun faktor tunggal bagi kita melaksanakan dasar ini.

Dalam proses pembangunan RPM 2026-2035, perbincangan mengenai inisiatif memperawal umur persekolahan telah berlaku menerusi pelbagai sesi libat urus (SLU) dan diskusi kumpulan berfokus dilaksanakan melibatkan pelbagai pihak berkepentingan.

Inisiatif ini juga telah diperincikan dan diperhalusi melalui sesi Makmal Penyelesaian Masalah yang mengumpulkan pakar bidang terdiri daripada ahli akademik, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), wakil pertubuhan dunia seperti Tabung Kanak-kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) dan Bank Dunia.

Selain itu, kajian kebolehlaksanaan juga telah dilaksanakan semasa pembangunan RMK-13 oleh agensi yang dilantik Kementerian Ekonomi. Kajian tersebut menilai kesediaan sistem pendidikan dan murid di Malaysia.

Hasil kajian menunjukkan majoriti murid memang mempunyai kesediaan untuk memulakan persekolahan lebih awal. Malah, dalam pengoperasian sekolah sedia ada, terdapat murid yang dibenarkan mendaftar lebih awal bergantung kepada tarikh lahir mereka.

 

Berdasarkan kajian tersebut, berapakah tahap kesediaan murid Malaysia?

Butiran terperinci kajian tersebut berada di bawah bidang kuasa Kementerian Ekonomi, kerana kajian berkenaan dilaksanakan oleh perunding yang dilantik ketika pembangunan dokumen RMK13. Inisiatif dan cadangan dalam RMK13 adalah berpandukan hasil kajian yang dilaksanakan oleh agensi terbabit.

Ada pihak mengatakan keputusan ini dibuat secara tergesa-gesa. Apakah respons KPM?

Sebenarnya keputusan ini tidak dibuat secara tergesa-gesa. Pembangunan RPM 2026-2035 telah dimulakan sejak 2023 lagi. Pada peringkat awal, KPM menjalankan analisis dokumen (desk research) dengan meneliti dasar kerajaan sedia ada serta kajian antarabangsa seperti kajian Bank Dunia dan Pertubuhan Kerjasama serta Pembangunan Ekonomi (OECD).

Pada 2024, sesi libat urus diperluas melalui pelbagai sesi perbincangan, makmal penyelesaian masalah selain portal dalam talian bagi mendapatkan pandangan dan cadangan masyarakat. Secara keseluruhannya, lebih 31,000 maklum balas diterima daripada pelbagai pihak.

Daripada hasil dapatan tersebut, terdapat cadangan yang mengusulkan umur persekolahan diawalkan. Pelaksanaan dasar ini melibatkan perubahan struktur sistem pendidikan dan memerlukan pindaan akta. Oleh yang demikian, ia tidak dibuat secara ad hoc.

 

Bagaimana pula dengan isu sekolah yang sudah padat, khususnya di kawasan bandar jika terdapat dua kohort murid memasuki Tahun Satu?

Perkara ini memang telah dijangka lebih awal. Walaupun tanpa pelaksanaan dua kohort murid sekali gus, terdapat sekolah yang sememangnya sudah padat. Oleh itu, beberapa langkah telah dirancang.

Pertama, bagi sekolah yang mempunyai kawasan tambahan, bangunan baharu atau bilik darjah tambahan akan dibina menggunakan kaedah Sistem Binaan Berindustri (IBS) yang boleh disiapkan dalam tempoh kira-kira enam bulan.

Kedua, bagi sekolah yang beroperasi satu sesi tetapi menghadapi kepadatan, pelaksanaan dua sesi persekolahan boleh dipertimbangkan.

Selain itu, ruang sedia ada seperti bilik khas yang tidak digunakan boleh ditukar fungsi menjadi bilik darjah atau kelas Tahun Satu boleh dibuka di institusi pendidikan lain yang mempunyai ruang mencukupi.

KPM juga merancang pengambilan 20,000 guru baharu melalui kaedah kontrak perkhidmatan (COS) bagi menampung keperluan tenaga pengajar.

Semua keperluan ini telah diunjurkan lebih awal, termasuk bilangan bilik darjah dan guru yang diperlukan.

Namun begitu, sekiranya ibu bapa merasakan anak mereka belum bersedia, mereka boleh menunggu sehingga anak berusia tujuh tahun untuk mendaftar.

Adakah murid yang tidak masuk pada usia enam tahun akan ketinggalan?

Tidak. Kohort utama Tahun Satu masih lagi murid yang berusia tujuh tahun, manakala murid yang mendaftar pada usia enam tahun diberikan peluang memasuki sekolah lebih awal.

Adakah akan ada proses pemilihan bagi murid berusia enam tahun?

Tidak ada pemilihan awal atau saringan sebelum kemasukan. Semua murid yang mendaftar akan diterima. Namun, selepas mereka memasuki sekolah dan dikenal pasti memerlukan bantuan, intervensi akan diberikan oleh guru.

Bilakah pindaan akta berkaitan perkara ini akan dibentangkan di Parlimen?

Pada tahun ini, KPM akan melaksanakan SLU terlebih dahulu bagi mendapatkan pandangan pelbagai pihak.

Selepas itu, kertas cadangan akan dibentangkan kepada pengurusan tertinggi kementerian sebelum dibawa ke Kabinet.

Proses ini dijangka mengambil masa sekitar dua hingga tiga tahun, termasuk penelitian oleh Jabatan Peguam Negara sebelum pewartaan dibuat.

 

Adakah pindaan akta ini bertujuan mewajibkan kemasukan ke Tahun Satu pada usia enam tahun?

Ya, sasaran akhirnya adalah untuk mewajibkan kemasukan ke Tahun Satu pada usia enam tahun atau enam tahun lebih. Namun buat masa ini, ia masih bersifat pilihan.

Adakah langkah ini akan menjejaskan tadika swasta?

KPM sedang merangka penyelesaian bersama semua pengusaha tadika swasta. Pada masa ini juga, murid dari tadika swasta tetap memasuki Tahun Satu pada usia 7 tahun seperti di sekolah kerajaan. Dengan adanya dasar baharu ini, murid boleh memasuki Tahun Satu pada usia 6 tahun di institusi pendidikan swasta.

Bagaimana dengan kebimbangan mengenai guru kontrak yang dianggap tidak terlatih?

Pengambilan guru melalui COS tetap melalui proses saringan dan temuduga oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Pendidikan (SPP). Hanya calon yang benar-benar layak dan berpotensi akan dipilih.

Selepas lantikan, mereka akan mengikuti latihan ikhtisas serta latihan dalam perkhidmatan untuk meningkatkan profesionalisme keguruan.

 

Bagaimana penerimaan masyarakat selepas pengumuman dasar ini?

Pada peringkat awal, terdapat pelbagai persepsi dan pandangan. Namun selepas pelbagai sesi penerangan dilakukan melalui media sosial, radio serta program libat urus seperti TEKAD RPM 2026 – 2035, penerimaan masyarakat dilihat semakin baik.

Bagaimana pula penerimaan sekolah swasta?

Sekolah swasta yang berdaftar di bawah KPM juga tertakluk kepada pelaksanaan dasar ini kerana mereka menggunakan kurikulum kebangsaan dan berada dalam sistem pendidikan yang sama.

 

IBU bapa perlu menilai kesediaan anak sebelum mendaftar, sementara kajian impak akan dijalankan selepas beberapa tahun bagi menambah baik pelaksanaan dasar.

Pastikan anak benar-benar bersedia

 

Bagaimana jika ibu bapa menghantar anak yang belum benar-benar bersedia, contohnya masih memakai lampin?

KPM sentiasa menekankan ibu bapa perlu menilai kesediaan anak sebelum mendaftarkan mereka. Sekiranya anak masih belum bersedia, sebaiknya mereka menunggu sehingga usia tujuh tahun untuk memulakan persekolahan.

Adakah sukatan pelajaran bagi murid enam tahun berbeza dengan murid tujuh tahun?

Tidak. Sukatan pelajaran adalah sama. Namun, kaedah pengajaran dan pembelajaran (PdP) akan disesuaikan. Guru Tahun Satu kini turut didedahkan dengan pendekatan PdP di prasekolah bagi membantu mereka memahami cara mengendalikan murid yang lebih muda.

 

Adakah KPM akan menjalankan kajian impak selepas pelaksanaan dasar ini?

Kajian impak akan dijalankan selepas dua hingga tiga tahun pelaksanaan bagi menilai kesan dasar ini serta mengenal pasti penambahbaikan yang perlu dilakukan.

Adakah pembelajaran awal ini akan memberi tekanan kepada murid dari segi kesihatan mental?

Kemasukan murid 6 tahun ke Tahun Satu pada 2027 adalah secara pilihan. Oleh itu, ibu bapa perlu menilai tahap kesediaan anak-anak, bukan hanya dari sudut kognitif, malah kesediaan sosioemosi.

Sekiranya murid belum bersedia, mereka tidak digalakkan mendaftar awal. Kurikulum Persekolahan 2027 yang lebih menekankan pembelajaran berasaskan aktiviti dan projek (hands-on learning) diperkenalkan. Pendekatan ini bersesuaian dengan tahap perkembangan kognitif dan sosioemosi murid Tahap 1.

Bagaimana perkembangan pendaftaran setakat ini?

Setakat ini, seramai 61,177 (pada 12 Mac 2026) murid berusia enam tahun telah didaftarkan. Jumlah keseluruhan kohort kanak-kanak berusia lima tahun lebih berdasarkan data Jabatan Pendaftaran Negara adalah sekitar 430,000 orang.

Situasi ini menunjukkan sebahagian ibu bapa masih membuat pertimbangan sebelum mendaftarkan anak mereka.

 

Negeri manakah yang mencatat pendaftaran tertinggi?

Setakat ini, Selangor mencatatkan jumlah pendaftaran tertinggi, khususnya di kawasan bandar. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×