KONFLIK di Asia Barat yang memuncak sejak 28 Februari lalu menjadi antara krisis geopolitik paling serius dalam dekad ini.
Ketegangan tercetus apabila serangan udara bersama Amerika Syarikat (AS) dan Israel menyasarkan kemudahan strategik Iran, termasuk loji nuklear serta infrastruktur ketenteraan utama.
Iran kemudiannya melancarkan serangan balas dengan peluru berpandu ke arah Israel dan beberapa pangkalan sekutu di rantau Teluk, sekali gus menjejaskan laluan perdagangan di Selat Hormuz.
Situasi ini menyebabkan harga minyak dunia melonjak melepasi AS$100 (RM 394) setong dan meningkatkan kebimbangan terhadap inflasi global. Justeru, Malaysia perlu bersedia dari pelbagai sudut bagi menghadapi kemungkinan kesan konflik yang berlaku di rantau tersebut.
Antara kesan paling ketara ialah ketidaktentuan harga minyak dunia. Asia Barat merupakan kawasan yang menempatkan sebahagian besar negara pengeluar minyak utama dunia seperti Arab Saudi, Iran, Iraq dan Emiriah Arab Bersatu (UAE).
Apabila berlaku ketegangan, pasaran minyak global biasanya bertindak balas dengan kenaikan harga akibat kebimbangan terhadap gangguan bekalan.
Lonjakan harga minyak dunia secara mendadak boleh memberi tekanan kepada banyak negara termasuk Malaysia, terutamanya dalam aspek pengurusan subsidi bahan api.
Walaupun Malaysia merupakan negara pengeluar minyak, namun negara ini juga mempunyai komitmen besar dalam menyediakan subsidi petrol dan diesel bagi membantu rakyat menghadapi kos sara hidup.
Apabila harga minyak dunia meningkat, kerajaan terpaksa menanggung kos subsidi yang lebih tinggi bagi mengekalkan harga bahan api domestik pada tahap stabil.
Ini boleh memberi tekanan kepada kedudukan fiskal negara sekiranya kenaikan harga minyak berlaku dalam tempoh panjang.
Oleh itu, kerajaan perlu mempunyai strategi dan mekanisme pengurusan fiskal yang mantap bagi memastikan kestabilan ekonomi negara dapat dikekalkan.
Selain itu, konflik di Asia Barat turut memberi kesan kepada kestabilan ekonomi global secara keseluruhan. Ketidaktentuan geopolitik sering menyebabkan pelabur antarabangsa menjadi lebih berhati-hati, sekali gus mempengaruhi aliran pelaburan global.
Dalam keadaan ekonomi dunia yang saling berkait, sebarang gangguan terhadap rantaian bekalan tenaga boleh memberi kesan kepada kos pengeluaran, harga barangan serta kadar inflasi di pelbagai negara.
Malaysia sebagai sebuah negara perdagangan yang bergantung kepada eksport dan import tidak terkecuali daripada kesan tersebut. Kenaikan kos tenaga boleh meningkatkan kos pengeluaran bagi sektor industri, sekali gus menjejaskan daya saing produk tempatan di pasaran antarabangsa.
Pada masa sama, peningkatan inflasi global boleh memberi tekanan terhadap kos sara hidup rakyat. Oleh itu, kerajaan perlu memantau perkembangan geopolitik dunia secara berterusan bagi memastikan langkah mitigasi dapat diambil segera sekiranya keadaan menjadi lebih serius.
Walaupun berdepan dengan pelbagai cabaran, Malaysia sebenarnya mempunyai beberapa kelebihan dalam menghadapi ketidaktentuan global.
Antara kekuatan utama ialah asas ekonomi yang relatif kukuh serta pelbagai seperti pembuatan, perkhidmatan, komoditi, pelancongan dan teknologi. Kepelbagaian ini membantu mengurangkan risiko sekiranya berlaku kejutan ekonomi dalam sektor tertentu.
Selain itu, kedudukan Malaysia sebagai negara yang mengamalkan dasar berkecuali dalam hubungan antarabangsa turut memberi kelebihan dalam mengurus hubungan diplomatik dengan pelbagai negara termasuk di Asia Barat.
Dasar luar yang seimbang membolehkan Malaysia mengekalkan hubungan baik dengan banyak negara, sekali gus memudahkan kerjasama ekonomi dan perdagangan.
Dalam konteks konflik ini, pendekatan diplomasi yang berhati-hati dapat membantu Malaysia mengekalkan kestabilan hubungan perdagangan dengan negara-negara di rantau tersebut.
Dalam menghadapi ketidaktentuan harga minyak dunia, Malaysia juga perlu memperkukuhkan strategi jangka panjang berkaitan keselamatan tenaga.
Pergantungan kepada bahan api fosil dalam jangka masa panjang boleh meningkatkan risiko ekonomi apabila berlaku turun naik harga minyak global. Oleh itu, negara perlu mempercepatkan usaha dalam pembangunan sumber tenaga alternatif seperti tenaga solar, biojisim dan tenaga hidro.
Pelaburan dalam tenaga boleh diperbaharui bukan sahaja membantu mengurangkan pergantungan kepada minyak, malah turut menyumbang kepada agenda kelestarian alam sekitar.

Dalam masa sama, Malaysia juga perlu memperkukuhkan daya tahan ekonomi domestik melalui peningkatan produktiviti dan inovasi. Dalam era Revolusi Industri 4.0 (IR4.0), penggunaan teknologi digital, automasi dan kecerdasan buatan (AI) boleh membantu meningkatkan kecekapan operasi dalam pelbagai sektor industri.
Keupayaan untuk menghasilkan produk bernilai tambah tinggi akan membantu Malaysia kekal berdaya saing walaupun berdepan dengan kenaikan kos tenaga dan bahan mentah.
Peranan sektor perusahaan kecil dan sederhana (PKS) juga penting dalam memperkukuhkan ketahanan ekonomi negara. PKS merupakan tulang belakang kepada ekonomi dan menyumbang sebahagian besar peluang pekerjaan. Oleh itu, kerajaan perlu menyediakan sokongan yang mencukupi bagi membantu mereka menghadapi cabaran kenaikan kos operasi akibat ketidaktentuan ekonomi global.
Antara langkah yang boleh diambil termasuk penyediaan insentif digitalisasi, kemudahan pembiayaan serta program peningkatan kemahiran tenaga kerja.
Selain aspek ekonomi, Malaysia perlu bersedia dari sudut keselamatan dan kemanusiaankerana memainkan peranan dalam usaha kemanusiaan termasuk bantuan kepada mangsa konflik.
Di samping itu, kerajaan juga perlu memastikan rakyat sentiasa mendapat maklumat yang tepat mengenai keadaan ekonomi dan langkah-langkah yang diambil bagi menghadapi cabaran global.
Bank negara perlu sentiasa memantau perkembangan inflasi, kadar pertukaran mata wang serta aliran modal antarabangsa. Langkah-langkah dasar yang tepat dapat membantu mengekalkan kestabilan sistem kewangan negara walaupun berdepan dengan tekanan luaran.
Dalam jangka panjang, Malaysia juga perlu memperkukuhkan strategi pembangunan ekonomi yang lebih mampan dan berdaya tahan. Ini termasuk memperluaskan sektor ekonomi berasaskan pengetahuan, teknologi tinggi dan inovasi. –UTUSAN
PROFESOR Madya Dr. Md. Fauzi Ahmad ialah Pensyarah dan Penyelidik Kanan Pengurusan Teknologi Pengeluaran, Fakulti Pengurusan Teknologi dan Perniagaan, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM).










