PETALING JAYA: Ketua Operasi Kumpulan Projek Lintasan Kota Holdings Sdn. Bhd. (ProLintas), Azmee Nin dilantik sebagai Presiden Persatuan Syarikat-Syarikat Konsesi Lebuhraya Malaysia (PSKLM) bagi penggal 2026 hingga 2028.
Keputusan itu dibuat susulan Mesyuarat Agung Tahunan ke-15 persatuan tersebut yang diadakan baru-baru ini di IJM Land Centre of Excellence (I.C.E), Pantai Sentral Park.
PSKLM dalam kenyataannya memaklumkan, pihaknya kini mempunyai 28 ahli berdaftar mewakili projek lebuh raya yang sedang beroperasi serta dalam pembinaan di seluruh negara sejak ditubuhkan di bawah Akta Pertubuhan 1966 pada 2011.

“Barisan kepimpinan baharu komited memperkukuh kerjasama strategik antara syarikat ahli, meningkatkan kecemerlangan operasi serta memperkasa komunikasi industri demi manfaat pengguna lebuh raya dan pembangunan infrastruktur negara.
“PSKLM juga merakamkan penghargaan kepada barisan kepimpinan terdahulu atas khidmat dan sumbangan mereka serta mengucapkan tahniah kepada Jawatankuasa Utama yang baharu dilantik,” katanya.
Selain Azmee Nin, barisan kepimpinan baharu PSKLM turut menyaksikan pelantikan Ketua Pegawai Operasi Lebuhraya Kuala Lumpur-Kuala Selangor (Latar), Ahmad Fuad Ahmad Shahimi sebagai Timbalan Presiden.
Selain itu, Ketua Pegawai Eksekutif Bahagian Tol IJM, Chua Lay Hoon dilantik sebagai Setiausaha manakala Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif AFA Prime, Ahmad Faizi Latifi Ahmad Faiz dipilih sebagai Bendahari.
Jawatankuasa utama PSKLM turut dianggotai wakil kanan daripada syarikat konsesi lebuh raya di seluruh negara termasuk Penolong Pengurus Besar Lebuhraya Lembah Klang Timur (EKVE), Ir. Raja Andifarizan Raja Ahmad sebagai Timbalan Setiausaha.
Turut menganggotai jawatankuasa itu ialah Ketua Pegawai Operasi Lebuhraya Lebuhraya Lembah Klang Selatan (SKVE), Dr. Teoh Jui Min dan Ketua Pegawai Komersial Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2) , Mohd. Fauzi Puniran sebagai Ahli Jawatankuasa Industri.
Sementara itu, Pengurus Besar Kanan (Operasi) Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS), Mohd. Yusof Abdul Aziz dilantik sebagai Ahli Jawatankuasa Penyelidikan dan Latihan, manakala Pengurus Kanan Lebuhraya Sungai Besi (BESRAYA), Nur Amani Zakaria sebagai Ahli Jawatankuasa program tanggungjawab sosial korporat (CSR) dan Sukan.
Pengurus Pemantauan Konsesi dan Komunikasi Korporat Lebuhraya BESRAYA, Shah Rizal Mohamed Fawzi pula diumumkan sebagai Ahli Jawatankuasa Komunikasi Strategik. – UTUSAN










