Siasatan rasuah: Prolintas sedia beri kerjasama dengan SPRM

Siasatan rasuah: Prolintas sedia beri kerjasama dengan SPRM

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Projek Lintasan Kota Holdings Sdn. Bhd. (Prolintas) sedia bekerjasama dengan pihak berkuasa berhubung siasatan melibatkan kes pembinaan, susulan penahanan warga kerja syarikat itu oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Syarikat itu dalam satu kenyataan memaklumkan, pihaknya sedia maklum mengenai warga kerjanya yang ditahan reman SPRM bagi membantu siasatan membabitkan kes  tersebut.

Katanya, pihaknya komited dan bersedia  bekerja rapat dengan semua pihak berkuasa berkaitan bagi memastikan kerjasama penuh dalam membantu siasatan.

“Prolintas terus komited dalam mengekalkan integriti dan tadbir urus korporat pada tahap tertinggi,” kata kenyataan itu.

Terdahulu, lapan individu termasuk seorang Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) bersama dua pengurusan tertinggi syarikat konsesi lebuh raya selepas dipercayai meminta dan menerima rasuah membabitkan pembinaan dua projek lebuh raya di Lembah Klang bernilai lebih RM1.6 bilion.

CEO bergelar Datuk bersama dua pengurusan tertinggi syarikat konsesi lebuh raya berkenaan direman selama empat hari sehingga 28 Jun ini.

Manakala, lima lagi individu iaitu pemilik syarikat pula direman selama tiga hari sehingga 27 Jun 2024.

Perintah reman dikeluarkan oleh Majistret Irza Zulaikha Rohanuddin selepas permohonan dibuat SPRM di Mahkamah Majistret Putrajaya, semalam.

Mereka ditahan terdiri tiga suspek daripada syarikat konsesi berkenaan membabitkan dua lelaki dan seorang wanita, manakala pemilik syarikat itu pula membabitkan lima lelaki yang kesemua berusia sekitar 40 hingga 50-an.

Mereka ditahan dalam Ops Lintas antara pukul 8 hingga 11 malam kelmarin ketika hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat SPRM.

Tiga suspek yang berkhidmat di syarikat konsesi lebuh raya ini disyaki meminta dan menerima rasuah daripada pemilik-pemilik syarikat berkenaan sebagai balasan bagi mendapat kontrak mengambil alih kerja-kerja pembinaan yang sebelum ini dijalankan satu syarikat lain bernilai lebih RM1 bilion.

Selain itu, mereka juga dipercayai meminta dan menerima rasuah membabitkan pembinaan satu seksyen projek lebuh raya lain di Lembah Klang yang bernilai lebih kurang RM670 juta. Keseluruhan nilai kedua-dua projek itu adalah berjumlah RM 11 bilion.

Sementara itu, Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM Datuk Seri Ahmad Khusairi Yahaya mengesahkan tangkapan terhadap kesemua suspek.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta SPRM 2009. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×