SYDNEY: Majlis Fatwa Australia telah mengumumkan bahawa bulan Ramadan akan berakhir pada Khamis ini menjadikan Jumaat sebagai hari pertama Aidilfitri dan permulaan Shawal 1447 Hijrah.
Keputusan ini dibuat selepas perundingan teliti dengan pemerhati bulan tempatan dan antarabangsa. Ia menggunakan pengiraan mengenai kemunculan anak bulan baru, waktu terbenam dan keterlihatannya di Australia serta kawasan sekitarnya, satu kaedah yang diiktiraf oleh banyak majlis ilmiah Islam terkemuka di dunia.
Majlis Imam Nasional Australia dan Majlis Fatwa Australia mengaku bahawa sebahagian ulama dan imam mungkin menggunakan kaedah alternatif.
Mereka menasihati masyarakat untuk menghormati perbezaan ini dan bekerja ke arah perpaduan, sambil mengekalkan nilai dan kepentingan bersama.
Mufti Besar Australia, Dr. Ibrahim Abu Mohamad bersama ahli-ahli Majlis Imam Nasional, mengucapkan salam Aidilfitri Kepada seluruh komuniti Muslim.
Namun, tidak semua komuniti Muslim di Australia akan menyambut Aidilfitri pada hari yang sama.
Ada sebahagian umat Islam mengikuti amalan pemerhatian fizikal bulan dan memulakan puasa pada hari Jumaat iaitu 20 Februari lalu, sehari selepas permulaan Ramadan di negara itu yang ditetapkan majlis fatwa.
Golongan itu dijangka menyambut hari raya kemungkinan besar pada Sabtu ini.
Bulan-bulan Islam biasanya mempunyai 29 atau 30 hari. Jika anak bulan tidak kelihatan pada malam ke-29, puasa diteruskan untuk hari ke-30. – AGENSI










