KEPALA BATAS: “Saya reda dengan apa yang berlaku. Memang mak selalu beritahu kami yang dia nak meninggal pada hari Jumaat. Apa yang dia cakap itu akhirnya jadi kenyataan.”
Itu luahan Mohammad Nazrul Nizam Yakob, 35, anak ketiga kepada Allahyarham Siti Aisyah Ahamad, 58, yang rentung dalam kebakaran sebuah rumah di Kampung Guar Kepayang di sini, kelmarin.
Selain Siti Aisyah, nahas turut melibatkan suaminya, Yacob Aziz, 66, dan seorang lagi anak mereka, Norhisham Yakob.
Bagaimanapun, kedua-dua mereka mengalami kecederaan ringan pada bahagian tangan dan kaki.
Mohammad Nazrul berkata, ketika kejadian, dia berada tidak jauh dari rumah ibunya dan bergegas ke lokasi, sebaik sahaja dimaklumkan oleh rakan mengenai tragedi itu.
“Sebaik sahaja sampai, ayah dan abang saya telah dibawa ke hospital akibat melecur manakala emak pula dijumpai dalam keadaan menyedihkan kerana ditimpa kayu pada badan dan muka.
“Saya diberitahu, ayah berkali-kali keluar dan masuk rumah untuk tarik emak keluar, tetapi tak berjaya. Nasib baik abang sempat selamatkan sepupu kami yang berusia lapan tahun yang turut berada dalam rumah.
“Saya tidak menyangka mak akan pergi meninggalkan kami dalam keadaan begini, lebih-lebih lagi pada 10 malam terakhir dalam bulan Ramadan,” katanya ketika ditemui, semalam.
Mohammad Nazrul berkata, ibunya bukan orang kurang upaya (OKU) seperti yang ditularkan sebelum ini, sebaliknya hanya mengalami sakit lutut dan menghadapi kesukaran untuk bergerak.
Katanya, jenazah dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Masjid Tuan Samad, Permatang Sungai Dua sebaik sahaja proses bedah siasat selesai. – UTUSAN










