BAGAN DATUK: Penginapan inap desa atau homestay di sekitar daerah ini menjadi rebutan perantau setiap tahun sehingga kebanyakannya habis ditempah menjelang sambutan Hari Raya Aidilfitri.
Pengusaha homestay berkata, tempahan bagi musim perayaan kali ini telah dibuat lebih awal malah ada yang menempah sejak lima bulan sebelum Ramadan.
Pengusaha Subinas Homestay, Mat Subril Mat Saad, 53, berkata, homestay kini menjadi pilihan utama perantau yang pulang berhari raya terutama mereka yang mempunyai keluarga besar.
Menurutnya, setiap tahun penginapan yang diusahakannya sentiasa penuh ditempah apabila tiba musim perayaan.
“Biasanya pelanggan yang pernah menginap di sini akan membuat tempahan lebih awal untuk Aidilfitri tahun berikutnya.
“Ada juga yang menempah dua bulan lebih awal dan ada yang membuat tempahan sebelum Ramadan kerana mereka tahu permintaan terhadap homestay sangat tinggi ketika musim perayaan,” katanya ditemui di Kampung Teluk Penikam di sini.
Menurutnya, dia telah mengusahakan homestay sejak 10 tahun lalu dengan kebanyakan pelanggan terdiri daripada perantau yang pulang berhari raya bersama keluarga.
Katanya, pelanggan tersebut datang dari pelbagai negeri termasuk Kelantan, Kedah, Johor, Kuala Lumpur, Selangor dan Perak selain dari Singapura serta Brunei.
“Setakat ini tempahan bagi Mac hingga April sudah penuh. Ada pelanggan tetap dan ada juga pelanggan baharu sehingga saya terpaksa mencadangkan mereka kepada rakan lain yang turut mengusahakan homestay,” katanya.
Menurutnya, lokasi Subinas Homestay yang terletak berhampiran Pasar Kampung Teluk Penikam serta pekan Bagan Datuk menjadi antara faktor penginapan itu menjadi pilihan pelanggan.
“Selain lokasi strategik, homestay ini juga mempunyai halaman luas serta dilengkapi pelbagai kemudahan yang sesuai untuk dijadikan tempat berkumpul ahli keluarga,” katanya.
Tambahnya, antara kemudahan yang disediakan termasuk halaman luas, kolam mandi, bilik karaoke, ruang seminar serta kemudahan sarapan pagi.
“Walaupun tempahan sudah penuh, saya masih menerima panggilan telefon dan mesej WhatsApp daripada perantau yang mencari penginapan pada saat akhir.
“Harga yang ditawarkan bermula RM90 hingga RM200 bergantung kepada jenis penginapan,” katanya. – UTUSAN










