KOTA BHARU: Penyanyi wanita Kelantan, Eda Ezrin kembali mencuri perhatian apabila bakal melancarkan lagu duet terbaharu bersama Den Manjo berjudul Adik Saye Abe Sore pada 26 Mac ini, sekali gus mengubat kerinduan peminat lagu-lagu dialek Kelantan.
Penerbit dan komposer lagu tersebut, Eddie Hamid berkata, karya berkenaan sebenarnya disiapkan lebih awal, namun pelancarannya tertangguh sebelum ini selepas Eda Ezrin atau Wan Norshaheeda Azlin Wan Ismail ditahan di Thailand tahun lalu.
Katanya, lagu itu dijangka mendapat sambutan kerana mengekalkan identiti muzik dialek Kelantan yang segar dengan sentuhan kontemporari.
“Lagu ini masih berteraskan dikir barat moden tetapi disusun dengan elemen muzik lebih segar supaya mampu menarik perhatian pendengar generasi muda.
“Kita yakin peminat menyukainya kerana ia mengekalkan keunikan dialek Kelantan selain gandingan Eda Ezrin dan Den Manjo yang sudah terbukti mempunyai keserasian tersendiri,” katanya pada Majlis Moreh dan Bicara Santai anjuran Pertubuhan Prihatin Suara Anak Kelantan bersama Anak Seni Kelantan di Cempaka, di sini malam tadi.
Eddie Hamid berkata, lagu Adik Saye Abe Sore mengangkat kisah percintaan remaja yang sering berdepan perasaan cemburu dan salah faham, namun disampaikan dalam bentuk santai serta mudah diingati.
Katanya, walaupun terdapat cadangan agar lagu tersebut diberikan kepada penyanyi lain, dia tetap memilih Eda Ezrin dan Den Manjo kerana keunikan vokal mereka.
“Lagu ini sebenarnya dicipta khusus mengikut kesesuaian vokal Eda. Sebab itu kami berasakan gandingan dia bersama Den Manjo adalah pilihan paling tepat. Keserasian mereka mampu memberi ‘roh’ kepada lagu ini sekali gus menambat hati pendengar,” ujarnya.
Eddie Hamid berkata, pelancaran lagu tersebut diharap mampu memperluas lagi penerimaan muzik dialek Kelantan ke peringkat lebih luas dalam industri hiburan tanah air. – UTUSAN










