Tarikh Aidilfitri kekal berpandu tuntutan syarak, sains astronomi - Utusan Malaysia

Tarikh Aidilfitri kekal berpandu tuntutan syarak, sains astronomi

SIRAJUDDIN SUHAIMEE
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Prosedur penentuan tarikh awal Syawal bagi sambutan Hari Raya Aidilfitri dilaksanakan melalui kaedah Rukyah (cerapan fizikal) dan Hisab (kiraan falak) berdasarkan kriteria Imkanur Rukyah, iaitu parameter kebolehnampakan anak bulan yang menjadi rujukan utama.

Proses penentuan bermula secara rasmi pada petang hari ke-29 Ramadan, di mana Jawatankuasa Rukyah Hilal akan berkumpul di 29 lokasi cerapan rasmi di seluruh negara untuk merukyah anak bulan.

Bercakap kepada Mingguan Malaysia, Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Datuk Dr. Sirajuddin Suhaimee berkata, sekiranya anak bulan (hilal) berjaya dicerap di mana-mana lokasi tersebut, ia seterusnya akan disahkan oleh Jawatankuasa Rukyah Hilal.

“Penentuan awal bulan Syawal atau Hari Raya Aidilfitri di Malaysia kekal berpandukan kepada sistem yang menggabungkan tuntutan syarak dan ketepatan sains astronomi.

“Metodologi ini diyakini sebagai pendekatan terbaik dan paling komprehensif dalam meng­hasilkan takwim rasmi umat Islam negara ini,” katanya.

Sebelum ini, Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah bertitah, tidak berkenan dengan andaian dan ramalan membuta tuli serta spekulasi yang tersebar di media sosial berhubung penetapan tarikh Hari Raya Aidilfitri yang boleh menimbulkan kejutan kepada umat Islam.

Sirajuddin berkata, semua mufti selaku pengerusi jawatankuasa rukyah di setiap negeri akan melaporkan kenampakan kepada Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja untuk mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong sebelum pengisytiharan 1 Syawal dibuat.

Walau bagaimanapun, katanya, sekiranya anak bulan tidak kelihatan akibat faktor cuaca atau keadaan ufuk, sandaran akan beralih kepada kriteria Imkanur Rukyah melalui hitungan Hisab.

“Berdasarkan kriteria ini, anak bulan dianggap boleh kelihatan sekiranya berada pada ketinggian sekurang-kurangnya 3° dengan elongasi bulan dan matahari pada 6° 24’ ketika matahari terbenam.

“Jika data anak bulan memenuhi syarat ini, keesokannya diisytiharkan sebagai hari raya, namun jika tidak, bulan Ramadan akan digenapkan kepada 30 hari,” katanya.

Menyentuh mengenai kemungkinan hari raya lebih awal daripada jangkaan kalendar, beliau berkata, ahli falak menjelaskan bahawa ia bukanlah satu kesilapan, sebaliknya bergantung kepada situasi cerapan semasa (Rukyah anak bulan).

Beliau menjelaskan, terdapat situasi di mana kiraan Hisab menunjukkan kedudukan anak bulan hampir melepasi syarat minimum kriteria Imkanur Rukyah, tetapi belum mencapainya secara mutlak.

Dalam keadaan ini, katanya, peluang untuk anak bulan kelihatan secara fizikal tetap wujud dan sekiranya cerapan di lapangan berjaya menghasilkan kenampakan anak bulan, maka hari raya akan diisytiharkan sehari lebih awal daripada ramalan asal takwim.

“Selain faktor teknikal astronomi, keberhasilan cerapan ini turut dipengaruhi oleh faktor luar jangka seperti keadaan ufuk yang bersih daripada pencemaran cahaya, perubahan cuaca yang ekstrem serta pergerakan awan.

“Kesemua elemen ini, ditambah dengan kesiapsiagaan peralatan teknikal oleh jawatankuasa di lokasi cerapan, menjadi penentu utama kepada keputusan yang akan diumumkan,” katanya.

Beliau berkata, umat Islam dinasihatkan untuk sentiasa menantikan pengumuman rasmi oleh Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja pada malam 29 Ramadan dan akur dengan apa juga keputusan yang akan diumumkan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×