RAMADAN bukan sekadar bulan menahan lapar dan dahaga sebaliknya masa terbaik untuk membersihkan jiwa serta mendekatkan diri kepada Allah SWT dengan meningkatkan ibadah termasuk melalui al-Quran.
Selain kewajipan berpuasa, amalan membaca dan bertadarus al-Quran dengan niat yang ikhlas sepanjang bulan mulia ini menjanjikan ganjaran yang berlipat kali ganda daripada Tuhan Yang Maha Mengasihi.
Seorang al Hafiz muda, Ustaz Abdul Latif Yahya yang juga merupakan Mudir Maahad Tahfizul Quran Langgar (Matam) mengungkapkan, bermujahadah membaca al-Quran tidak seharusnya dilengah-lengahkan kerana amalan ini mempunyai banyak fadilatnya ketika Ramadan yang sudah masuk penghujungnya kini.
“Ramadan istimewa kerana ia bulan diturunkan al-Quran. Bukan sahaja membaca al-Quran sepanjang bulan ini memberikan ganjaran berganda malah jika sekadar mendengar bacaan kitab suci ini juga ada ganjarannya.
USTAZ ABDUL LATIF YAHYA
Pendidikan:
* Maahad Tahfiz Miftahul Ulum, Kuala Lumpur
* Universiti Abu Nur Damascus, Syria
* Kolej Islam Darul Ulum, Pokok Sena, Kedah
* Madrasah Ribath Syuyukh, Yaman
Jawatan:
* Mudir Maahad Tahfizul Quran Langgar (Matam)
* Alor Setar Kedah
“Fadilatnya sangat banyak seperti memberi nur dalam hati dan menenangkan jiwa. Mereka yang konsisten dengan amalan ini akan merasa berat untuk melakukan dosa kerana al-Quran menjaga hati.
“Hubungan antara Ramadan dan al-Quran sangat rapat, kerana kedua-duanya saling melengkapi dalam membentuk jiwa yang bersih dan penuh nur,” katanya ketika ditemui di Matam, baru-baru ini.
Beliau yang pernah bertalaqi dengan alim ulama di Syria dan Yaman itu memberitahu, terdapat banyak riwayat yang menjelaskan tentang pahala membaca al-Quran termasuk daripada Imam at-Tirmidzi yang bermaksud: Barang siapa yang membaca satu huruf dalam kitab Allah maka baginya satu kebaikan dan setiap kebaikan dibalas dengan 10 kebaikan.
“Ketika membaca al-Quran secara istiqamah dan penuh reda maka pahalanya akan dilipatgandakan,” jelas beliau yang mewarisi maahad tahfiz tersebut daripada bapanya yang juga seorang bekas doktor perubatan.
Mengulas sikap segelintir masyarakat yang terasa berat atau menjauhkan diri daripada al-Quran beliau menegaskan pembersihan jiwa dengan ikhlas dan bertaubat di atas dosa-dosa silam merupakan langkah yang perlu dilakukan segera.
“Ramai alim ulama mengingatkan bahawa apabila seseorang berasa berat untuk beribadah termasuk membaca al-Quran, hendaklah dia bermuhasabah dan memperbanyakkan taubat.
“Dosa yang tidak disedari boleh menjadi penghalang kepada taufik dan keberkatan ibadah, justeru Ramadan hadir sebagai peluang untuk membersihkan diri.
“Amalan dalam Ramadan tidak perlu dimulakan dengan jumlah yang besar, sebaliknya perlu dilakukan secara konsisten. Istiqamah dalam amalan kecil seperti membaca beberapa ayat al-Quran setiap hari, berzikir dan memberi kesan jangka panjang,” jelas al-Hafiz berusia 36 tahun ini.
Dalam pada itu, beliau menekankan peranan Ramadan sebagai medan terbaik untuk mendidik anak-anak mencintai ibadah dan al-Quran melalui amalan yang konsisten dan teladan yang baik dalam keluarga.
“Didikan ini memerlukan kesabaran kerana cinta terhadap ibadah tidak lahir secara paksa, mulakan dengan surah yang pendek untuk mereka baca dan hafal,” ujarnya.
Beliau turut mengingatkan bahawa kejayaan beramal ibadah ketika Ramadan tidak seharusnya terhenti selepas bulan tersebut berlalu, sebaliknya diteruskan dengan perubahan akhlak dan peningkatan amalan dalam kehidupan seharian. –UTUSAN










