Baju kurung Dalila pengubat rindu ibu - Utusan Malaysia

Baju kurung Dalila pengubat rindu ibu

NORINDA Kasim (kanan) menunjukkan baju kurung Nur Dalila Farhana Mohamad Isma ketika ditemui di Kampung Baru Tok Dor, Besut, Terengganu.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BESUT: “Tiada lagi air tangan kakak menjadi hidangan moreh dan berbuka ketika Ramadan, kami rindukan masakannya,” luah Norinda Kasim, 50, me­nge­nangkan arwah anaknya, Nur Dalila Farhana Mohamad Isma.

Nur Dalila Farhana ialah penuntut Universiti Pendidikan Sul­tan Idris (UPSI) yang maut bersama 14 yang lain dalam kemalangan di Gerik, Perak Jun ta­hun lalu.

Norinda berkata, Allahyarham yang mesra dipanggil ka­kak merupakan seorang yang ceria dan ringan tulang membantunya memasak juadah berbuka puasa.

“Sejak sekolah menengah, arwah tidak mahu tinggal di asrama, boleh dikatakan setiap tahun dia ada bersama kami menjalani ibadah puasa.

“Walaupun tahun lalu arwah melanjutkan pelajaran ke UPSI, tetapi ketika puasa kebetulan waktu cuti semester dan boleh meraikan bersama. Kali ini berbeza apabila kakak pergi dan tidak lagi kembali,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di Kampung Baru Tok Dor di sini.

Norinda bekata, Allahyarham akan tersenyum melihat ah­li keluarga dan rakan-rakan me­nikmati masakannya.

Katanya, kerinduan terhadap Nur Dalila Farhana tidak pernah terhakis sehingga dia terpaksa berhenti memasak hampir dua bulan kerana terkenangkan arwah.

“Saya ambil masa yang lama untuk kembali memasak untuk keluarga kerana setiap kali ma­suk ke dapur, terbayang kelibat kakak.

“Masih terngiang-ngiang di te­linga saya setiap kali masuk dapur pertanyaan kakak, ‘mama nak masak apa?’, ‘mama nak makan apa?’,” katanya.

Kini hanya baju kurung ke­sayangan Allahyarham menjadi peneman tidur Norinda setiap malam bagi mengubat kerinduan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×