PETALING JAYA: Polis menahan tiga individu disyaki terbabit dalam kegiatan pinjaman wang tanpa lesen atau ah long serta melakukan ugutan terhadap seorang lelaki, baru-baru ini.
Penahanan itu dibuat susulan satu laporan polis yang dibuat oleh seorang lelaki berusia 35 tahun yang juga aktivis Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO).
Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Hoo Chang Hook berkata, aktivis berkenaan membuat laporan bagi mewakili rakannya yang didakwa menerima ugutan daripada ejen pinjaman wang tidak berlesen.
“Siasatan awal mendapati laporan yang dibuat mempunyai kaitan dengan satu kertas siasatan yang telah dibuka sebelum ini.
“Hasil siasatan awal mendapati kes ini berkaitan dengan siasatan yang dijalankan mengikut Seksyen 5(2) Akta Pemberi Pinjaman Wang 1951 kerana menjalankan aktiviti pinjaman wang tanpa lesen,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Polis telah menahan tiga individu bagi membantu siasatan lanjut berhubung kes berkenaan dan kes kini masih dalam siasatan.
Polis menasihatkan orang ramai agar tidak terlibat dengan kegiatan pinjaman wang tidak berlesen. – UTUSAN










