KEMAMAN: Sebuah kabin tempat simpanan mercun dan kanopi yang dijadikan tempat menjual bahan itu musnah dijilat api dalam kebakaran di Kampung Gong Limau, Chukai, di sini, hari ini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 4.15 pagi itu, kabin simpanan mercun terbakar kira-kira 50 peratus manakala sebuah kanopi itu pula musnah 100 peratus. Namun kejadian itu tidak melibatkan kemalangan jiwa.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Chukai, Penolong Kanan Penguasa Bomba Mohamad Hanif Che Khalid berkata, ketika anggota bomba tiba di lokasi kejadian, api sedang marak disertai dengan beberapa letupan mercun yang berada dalam kabin tersebut.
“Kami sedaya-upaya memadamkan kebakaran itu bagi memastikan api tidak merebak,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.
Mohamad Hanif berkata, pihaknya mengambil masa kira-kira 19 minit untuk mengawal api dari merebak dan operasi ditamatkan kira-kira pukul 5.10 pagi.
Punca kejadian dan kerugian masih dalam siasatan. – UTUSAN











