Sabah bantah permohonan tangguh pelaksanaan perintah mahkamah isu hasil 40 peratus

Sabah bantah permohonan tangguh pelaksanaan perintah mahkamah isu hasil 40 peratus

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA KINABALU: Jabatan Peguam Besar Negeri Sabah mengesahkan Kerajaan Negeri akan membantah permohonan yang difailkan oleh Jabatan Peguam Negara Malaysia bagi mendapatkan penangguhan pelaksanaan perintah Mahkamah Tinggi Malaysia berhubung hak negeri itu terhadap 40 peratus hasil bersih Persekutuan yang diperoleh dari Sabah bagi tempoh 1974 hingga 2021, dikenali sebagai “tahun-tahun yang hilang”.

Peguam Besar Sabah, Datuk Brenndon Keith Soh berkata perintah mahkamah bertarikh 17 Oktober 2025 mengarahkan kerajaan Persekutuan mengadakan semakan bersama kerajaan Negeri bagi melaksanakan pemberian khas 40 peratus selaras kerangka Perlembagaan.

Menurutnya, mahkamah turut menetapkan tempoh 180 hari bagi kedua-dua pihak mencapai persetujuan berhubung perkara itu, iaitu selewat-lewatnya pada 15 April ini.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Sejak keputusan itu dikeluarkan, kerajaan negeri Sabah kekal komited untuk mematuhi sepenuhnya isi dan maksud keputusan Mahkamah Tinggi.

“Kerajaan negeri secara konsisten terbabit dalam proses libat urus bersama pihak berkuasa Persekutuan dan beberapa mesyuarat serta perbincangan teknikal telah diadakan bagi pertukaran maklumat, pengesahan data serta pertimbangan kaedah sesuai untuk menentukan jumlah pemberian khas 40 peratus kepada Sabah,” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.

Menurutnya, semua sesi perbincangan dilaksanakan secara konstruktif, telus dan dengan niat baik bagi mencapai penyelesaian yang adil serta boleh diterima bersama dalam tempoh masa ditetapkan mahkamah.

Katanya, kerajaan negeri juga mengemukakan beberapa cadangan serta kerangka kerja bagi membantu pihak berkaitan mencapai persetujuan bersama.

“Kerajaan negeri Sabah tidak pernah menangguhkan atau gagal memberi kerjasama dalam melaksanakan perintah Mahkamah Tinggi, sebaliknya mengambil langkah aktif dan berterusan bagi memastikan proses berkenaan berjalan secara teratur dan produktif.

“Kerajaan negeri kekal bersedia untuk terus berunding dengan Kerajaan Persekutuan secara konstruktif bagi mencapai keputusan yang dipersetujui bersama selaras dengan peruntukan Perlembagaan serta terma perintah Mahkamah Tinggi,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata Perkara 112D(6) Perlembagaan Persekutuan turut menyediakan mekanisme jelas sekiranya kedua-dua pihak gagal mencapai persetujuan.

Menurutnya, peruntukan itu membolehkan pelantikan seorang penilai bebas dan syor yang dikemukakan akan mengikat kedua-dua kerajaan serta dilaksanakan seolah-olah ia merupakan persetujuan bersama.

“Memandangkan perbincangan masih berlangsung dan tempoh masa yang ditetapkan mahkamah semakin hampir, kedua-dua pihak perlu terus menumpukan usaha bagi memenuhi terma perintah Mahkamah Tinggi dan mencapai penyelesaian yang adil dalam tempoh ditetapkan,” katanya.

Beliau menegaskan Jabatan Peguam Besar Negeri Sabah akan terus mengambil langkah undang-undang sewajarnya bagi melindungi hak serta kepentingan Sabah, di samping menyokong prinsip kedaulatan undang-undang, perlembagaan dan semangat kerjasama antara kerajaan Persekutuan dan negeri. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini