Ketidaktentuan harga minyak global beri tekanan ekonomi - Utusan Malaysia

Ketidaktentuan harga minyak global beri tekanan ekonomi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Lonjakan harga minyak global kini memberi tekanan kepada ekonomi negara, susulan ketegangan geopolitik yang semakin memuncak di Asia Barat. 

Kenaikan mendadak harga minyak Brent bukan sahaja menjejaskan kos bahan api domestik, tetapi turut mencetus kebimbangan terhadap inflasi dan kos sara hidup rakyat menjelang Mei 2026.

Pakar Ekonomi Universiti Tun Abdul Razak (UNIRAZAK), Prof. Emeritus Barjoyai Bardai berkata, harga minyak mentah minyak Brent dijangka meningkat sehingga AS$110 hingga AS$119 setong (RM517 hingga RM559 setong).

Ujarnya, keadaan itu dipacu oleh konflik Iran-Amerika Syarikat (AS) serta gangguan laluan kapal melalui Selat Hormuz, yang mengangkut hampir 20 peratus eksport minyak dunia.

“Faktor utama harga minyak global sehingga Mei 2026 iaitu ketegangan geopolitik menyebabkan risiko tinggi dan lonjakan harga mendadak, penutupan atau risiko serangan menyebabkan premium risiko tinggi di Selat Hormuz, lebihan pengeluaran global dijangka tiga hingga empat juta tong sehari daripada AS, Kanada, Brazil, Guyana dan Argentina.

“Selain itu, dalam jangka pendek (Mac hingga Mei 2026) terdapat risiko tinggi menyebabkan harga kekal tinggi.

“Bagi jangka sederhana pada Mei hingga akhir 2026 apabila aliran kapal melalui Selat Hormuz pulih dan lebihan bekalan berterusan, EIA menjangka Brent turun kepada AS$70 (RM274.11) setong, manakala J.P. Morgan meramalkan purata AS$60 (RM282 setong) pada 2026,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Tambahnya, harga petrol domestik diselaraskan berdasarkan Mekanisme Penetapan Harga Automatik (APM).

“Kenaikan harga global menyebabkan RON97 dianggarkan RM3.25 hingga RM3.85 seliter, manakala RON95 tidak bersubsidi sekitar RM2.67 hingga RM3.27 seliter. 

“Kerajaan mengekalkan RON95 bersubsidi pada RM1.99 seliter, selain memberi subsidi bersasar BUDI95 dan BUDI Diesel, serta bantuan tunai untuk pengguna tertentu,” katanya. 

Kelmarin, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan kerajaan masih mampu mengekalkan harga subsidi petrol RON95 di bawah program Budi Madani walaupun negara turut terkesan dengan perkembangan ketegangan geopolitik yang memberi kesan terhadap ekonomi global, termasuk Malaysia.

Sementara itu, Profesor Fakulti Ekonomi dan Pengurusan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Dr. Mohd. Rizal Palil berkata, kerajaan dijangka berdepan tekanan fiskal yang lebih besar sekiranya harga minyak global terus meningkat, khususnya dalam usaha mengekalkan subsidi bahan api untuk rakyat.

Menurutnya, walaupun peralihan kepada tenaga boleh diperbaharui dilihat sebagai langkah penting dalam mengurangkan kebergantungan kepada minyak, kos pembangunan teknologi tenaga hijau ketika ini masih tinggi.

“Tahap kecekapan tenaga alternatif juga masih belum sepenuhnya menandingi penggunaan bahan api fosil seperti petrol dan diesel, sekali gus menjadikan peralihan tenaga sebagai cabaran yang memerlukan tempoh masa yang panjang.

“Bagi jangka sederhana, ekonomi global masih bergantung kuat kepada minyak dan gas kerana kedua-dua sumber tenaga ini dianggap paling cekap, murah serta stabil dalam menyokong pembangunan ekonomi dunia,” katanya. 

Namun begitu, Mohd. Rizal berpandangan lonjakan harga minyak ketika ini berkemungkinan bersifat sementara. 

“Harga minyak global dijangka kembali stabil sekitar AS$70 hingga AS$80 (RM329 setong hingga RM376 setong) antara Julai hingga September 2026 sekiranya ketegangan geopolitik global kembali reda,” katanya. –UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×