JOHOR BAHRU: Seorang lelaki warga asing ditahan bagi membantu siasatan pembunuhan seorang wanita yang ditemukan dengan 14 luka tikaman di sebuah bilik hotel di Taman Maju Jaya, di sini awal pagi semalam.
Timbalan Ketua Polis Johor, Deputi Komisioner Hoo Chuan Huat berkata, suspek yang berusia 19 tahun itu ditahan di sebuah kondominium sekitar bandar raya ini pukul 8 malam, semalam.
“Polis turut merampas beberapa barangan yang dipercayai mempunyai kaitan dengan kejadian itu, antaranya sehelai baju berwarna coklat, sehelai seluar panjang berwarna biru, sepasang kasut getah berwarna hitam, sebuah cakera keras CCTV serta dua telefon bimbit.
“Semakan mendapati suspek tidak mempunyai rekod kesalahan lampau manakala ujian urin juga mendapati suspek negatif penyalahgunaan dadah,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Tambah Chuan Huat, suspek kini direman selama tujuh hari bermula hari ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
“Orang ramai diingatkan agar tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mengganggu proses siasatan, manakala mana-mana pihak yang mempunyai maklumat boleh hubungi talian 019-2792095 atau 07-2212999 untuk membantu siasatan,” katanya.
Semalam, Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat memaklumkan, pihaknya menemukan mayat seorang wanita warganegara asing dengan 14 kesan tikaman di beberapa bahagian tubuhnya.
“Pemeriksaan mendapati terdapat 11 kesan tikaman di bahagian dada serta masing-masing satu kesan tikaman di leher, jari telunjuk dan lengan kanannya. Mangsa dipercayai merupakan seorang pelacur,” katanya. – UTUSAN










