PETALING JAYA: Sektor kesihatan swasta tidak boleh menyerap dan mengambil graduan perubatan untuk diterima bekerja meskipun sudah menyelesaikan latihan klinikal (housemanship) dan selepas dilantik sebagai pegawai perubatan secara kontrak.
Presiden Persatuan Hospital Swasta Malaysia (APHM), Datuk Dr. Kuljit Singh berkata, struktur perkhidmatan kerajaan berbeza dengan sektor swasta yang merupakan 98 peratus terdiri daripada doktor-doktor pakar.
Menurut beliau, walaupun pelatih perubatan sudah berpengalaman dua tahun semasa latihan amali dan perkhidmatan kontrak tiga tahun, ia masih tidak mencukupi untuk diterima bekerja dalam perkhidmatan swasta berikutan kekurangan tenaga pakar untuk membimbing mereka terutama sewaktu kes-kes kecemasan.
“Graduan perubatan baru menamatkan pengajian dan latihan memang tiada tempat di sini. Ada pun hanya sebilangan kecil dari segi kecemasan, health screening. Itu pun kita perlukan mereka berpengalaman sekurang-kurangnya lima atau enam tahun.
“Untuk menjadi seorang doktor yang selamat merawat pesakit itu memerlukan banyak pengalaman seperti secara terus dengan pesakit dengan pelbagai jenis penyakit dan pesakit. Justeru, swasta tidak sesuai untuk memberikan latihan lengkap kepada graduan. Latihan yang lengkap sepatutnya daripada Kementerian Kesihatan,” kata beliau ketika dihubungi semalam.
Selain itu, Kuljit berkata, di pusat perubatan swasta, apabila berlaku kecemasan, hanya seorang sahaja pegawai perubatan dan pakar yang bertugas dan situasi itu tidak sama seperti hospital kerajaan yang mempunyai beberapa kakitangan dan juga senior.
Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) mengunjurkan, Malaysia menghasilkan 6,000 graduan perubatan setiap tahun merangkumi dari dalam dan luar negara yang menamatkan pengajian dan pulang ke tanah air.
Pada Mac lalu, Jabatan Perangkaan mendedahkan kadar pengangguran di negara ini bertambah 9,700 pada Januari lalu, sekali gus merekodkan jumlah keseluruhan seramai 782,500 orang berbanding 772,900 penganggur pada Disember tahun lalu. Data statistik melibatkan siswazah bumiputera paling ramai menganggur iaitu 122,100 orang dengan 71.7 peratus.
Rentetan lambakan itu, rata-rata graduan perubatan sudah ‘tawar hati’ untuk meneruskan kerjaya sebagai doktor dengan masa menunggu untuk latihan perubatan enam hingga 12 bulan selepas menamatkan pengajian.
Dalam pada itu, beliau berkata, sudah terlambat untuk kerajaan menangani masalah dihadapi graduan perubatan menyedari lambakan graduan bidang itu semakin bertambah yang datang dari pelbagai jenama universiti.
“Dari dahulu kerajaan mengiktiraf banyak sekolah perubatan? Masa itu kena fikirlah. Sekarang sudah ada 42 sekolah perubatan awam dan swasta.
“Sepatutnya kena kurangkan sekolah perubatan, hadkan bilangan pelajar supaya kita boleh kira betul-betul berapa jumlah doktor diperlukan,” katanya. – UTUSAN ONLINE










