BATU PAHAT: Seorang penyelia direman selama dua hari bermula hari ini bagi membantu siasatan berhubung tindakannya yang disyaki mengintai seorang lelaki dalam tandas sebuah pusat beli-belah di Taman Flora Utama di sini, semalam.
Perintah reman ke atas suspek lelaki berusia 31 tahun itu dikeluarkan Majistret, Nurasidah A. Rahman bagi membolehkan kes disiasat mengikut Seksyen 507A Kanun Keseksaan.
Difahamkan, mangsa iaitu seorang lelaki berusia 32 tahun membuat laporan polis berhubung kejadian itu yang berlaku pada pukul 5.15 petang.
Mangsa memberitahu ketika sedang menggunakan tandas, dia menyedari terdapat seorang individu yang menggunakan tandas bersebelahan dengannya membuat rakaman video melalui sudut atas.
Mangsa kemudian bergegas keluar daripada tandas dan mengejar suspek yang cuba melarikan diri. Suspek bagaimanapun berjaya ditahan sebelum suspek meminta pertolongan polis bantuan untuk menghubungi pihak berkuasa.
Suspek diserahkan kepada pihak polis bersama telefon bimbit yang digunakan untuk membuat rakaman video berkenaan, pada kira-kira pukul 6 petang. – UTUSAN









