34 Smart Lane diaktifkan di Lebuhraya Utara-Selatan sempena Aidilfitri

34 Smart Lane diaktifkan di Lebuhraya Utara-Selatan sempena Aidilfitri

NIK Airina Nik Jaffar (tiga kanan) melakukan pemantauan pengguna lebuhraya pada skrin secara langsung selepas sesi taklimat dan sidang akhbar bagi hadapi peningkatan trafik sempena musim perayaan Hari Raya Aidilfitri di Persada PLUS di sini hari ini. - UTUSAN/FARIZ RUSADIO
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Sebanyak 34 laluan Smart Lane di lokasi strategik sepanjang Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS)  bagi membantu melancarkan aliran trafik sempena musim perayaan Hari Raya Aidilfitri tahun ini.

Pengarah Urusan PLUS, Datuk Nik Airina Nik Jaffar berkata, jumlah tersebut termasuk dua lokasi baharu yang ditambah berbanding pelaksanaan semasa cuti Tahun Baharu Cina baru-baru ini.

Menurutnya, pengaktifan laluan tersebut bertujuan meningkatkan kapasiti jalan raya ketika trafik memuncak, sekali gus membantu mengurangkan kesesakan terutama pada hari-hari puncak pergerakan pengguna lebuh raya. 

“Smart Lane hanya akan diaktifkan ketika musim perayaan atau tempoh trafik tinggi apabila pergerakan kenderaan di laluan utama menjadi perlahan.

“Apabila Smart Lane dibuka, ia dapat membantu melancarkan sedikit pergerakan kenderaan kerana kapasiti laluan ditambah,” katanya kepada pemberita pada sidang media mengenai persiapan PLUS menghadapi peningkatan trafik sempena Aidilfitri di Persada PLUS, di sini, hari ini.

Menurut Nik Airina, pengguna lebuh raya boleh mengenal pasti pengaktifan laluan itu melalui papan tanda peringatan serta lampu hijau berkelip yang dipasang di lokasi terlibat.

Bagaimanapun katanya, waktu pengaktifan laluan tersebut bergantung kepada keadaan trafik semasa dan hanya akan dibuka apabila diperlukan.

“Pengguna juga perlu memahami bahawa penggunaan Smart Lane tidak sama seperti laluan utama kerana lorong ini lebih sempit, iaitu sekitar tiga meter lebar.

“Disebabkan aliran trafik yang lebih terhad, kelajuan kenderaan juga perlu lebih rendah berbanding laluan biasa,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, PLUS menetapkan had kelajuan maksimum 60 kilometer sejam bagi kenderaan yang menggunakan laluan Smart Lane.

“Oleh itu, semua pengguna dinasihati supaya sentiasa mematuhi arahan lalu lintas serta memandu secara berhemah ketika menggunakan laluan tersebut.

“Pengguna juga diingatkan supaya tidak menyalahgunakan lorong kecemasan di luar waktu operasi atau di lokasi yang tidak diaktifkan sebagai Smart Lane bagi memastikan keselamatan semua pengguna lebuh raya,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×