Peguam Naimah dipanggil ke Bukit Aman pagi ini

Dakwaan jatuhkan kerajaan: Peguam Naimah dipanggil ke Bukit Aman pagi ini

NA'IMAH KHALID
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Peguam yang dinamakan dalam laporan polis mengenai dakwaan cubaan menjatuhkan kerajaan dijangka hadir ke Bukit Aman untuk dirakam keterangan, pagi ini.

Berdasarkan makluman diterima, Nizamuddin Hamid yang juga peguam kepada isteri Allahyarham Tun Daim Zainuddin, Toh Puan Na’imah Abdul Khalid diminta hadir ke Bukit Aman kira-kira pukul 10 pagi, hari ini.

Beliau akan ditemani peguamnya, Datuk Khalid Yusoff ketika hadir memberi keterangan.

Difahamkan, Nizamuddin juga akan mengadakan sidang akhbar di luar pekarangan Bukit Aman sejurus selesai sesi soal siasat bagi menjelaskan dakwaan dikaitkan dengannya itu.

Media sebelum ini melaporkan, Nizamuddin antara dua peguam yang dinamakan dalam satu laporan polis, yang membawa kepada siasatan berhubung dakwaan cubaan menggulingkan kerajaan.

Nizamuddin menafikan dakwaan itu dan menyifatkannya sebagai ‘pembohongan terbesar’.

Beliau dilaporkan berkata, anak guamnya, Na’imah tidak pernah memberikan arahan sedemikian kepada pasukan guamannya.

“Saya mengesahkan bahawa saya salah seorang yang dinamakan dalam laporan polis tersebut dan seorang lagi adalah Amir Zharif Abdullah.

“Sepanjang kami menjalankan tugas kami sebagai peguam kepada Toh Puan Nai’mah, tidak ada sama sekali sebarang perbincangan atau arahan diberikan kepada kami untuk menggulingkan kerajaan atau untuk undermine parliamentary democracy (melemahkan demokrasi berparlimen),” katanya.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×