NARATHIWAT (THAILAND): Pihak berkuasa memperketat kawalan keselamatan pada 10 hari terakhir Ramadan susulan beberapa insiden keganasan termasuk letupan bom, tembakan dan vandalisme di Yala serta Narathiwat sejak beberapa hari lalu.
Jurucakap Pusat Operasi Keselamatan Dalam Negeri Wilayah 4 (ISOC 4) berkata, ia melibatkan kawasan komuniti, pusat ekonomi dan laluan strategik bagi mengekang sebarang cubaan mencetuskan pergolakan sepanjang tempoh sensitif itu.
“Kebiasaannya pada 10 hari terakhir Ramadan setiap tahun keganasan meningkat. Oleh itu semua pasukan keselamatan di ketiga-tiga wilayah berkenaan diarah meningkatkan kawalan dan kewaspadaan.
“Tumpuan adalah memeriksa individu yang memakai topeng yang menyembunyikan wajah mereka, mengesahkan kad pengenalan dan latar belakang individu yang mencurigakan dengan teliti,” katanya kepada Utusan Malaysia semalam.
Jurucakap ISOC4 berkata, selain itu pemeriksaan ke atas kesemua kenderaan termasuk kereta dan motosikal turut dijalankan.
Katanya, ia dilakukan berpandukan kepada padanan yang terdapat dalam pangkalan data keselamatan, selain kenderaan mencurigakan yang disyaki mengandungi bahan letupan.
“Terbaharu dua individu cedera dalam letupan bom buatan sendiri (IED) di Lebuhraya 410 berhampiran Ban Ranoh, Mukim Tanah Puteh, Bannang Sata, Yala kira-kira pukul 9.50 pagi kelmarin.
“Mangsa ialah Timbalan Komander Kompeni Infantri ke-4, Leftenan Kornis Nualyai dan Penolong Ketua Kampung Tanoh Puteh, Marawan Pairaoh yang mengalami kecederaan pada muka, tangan dan kaki sebelum dihantar ke Hospital Krong Pinang untuk rawatan,” ujarnya.
Jurucakap ISOC 4 berkata, sebelum kejadian itu pihak berkuasa menerima laporan penemuan tulisan di atas jalan raya dalam bahasa Thai dan Inggeris membawa mesej ‘Patani bukan Siam’ di tiga laluan utama di Bannang Sata.- UTUSAN










