PETALING JAYA: Atlet lontar peluru negara, Nani Sahirah Maryata berhasrat mendapatkan lebih banyak pendedahan antarabangsa termasuk menjalani latihan di Eropah sebagai persiapan menjelang Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026.
Pemenang pingat emas Sukan SEA 2025 serta pemegang rekod kebangsaan itu berkata, dengan berlatih atau menyertai kejohanan di luar negara ia mampu meningkatkan prestasi dirinya.
“Dalam negara saya sudah tahu kedudukan ranking saya jadi saya nak persaingan yang lebih hebat. Contohnya kalau lawan baling 16 meter (m) saya pun sama.
“Itu bagi semangat untuk saya bergerak ke hadapan. Saya perlukan suasana baharu seperti berlatih di luar negara atau menyertai kejohanan antarabangsa.
“Saya mahukan lebih banyak pengalaman dan pendedahan kepada diri sendiri untuk lawan dengan orang-orang yang hebat,” katanya.
Terdahulu, atlet dari Pahang itu mencipta sensasi apabila melakukan lontaran sejauh 16.36m untuk meraih emas di Thailand sekali gus memperbaharui rekod kebangsaan miliknya iaitu 15.39m ketika beraksi di Kejohanan Terbuka Perlis pada 2024.
Ditanya lokasi terbaik untuk Nani melakukan persiapan menghadapi Sukan Asia, dia memilih Jerman namun perlu mendapatkan kelulusan daripada Majlis Sukan Negara (MSN) dan Olahraga Malaysia (MA).
“Saya dengan jurulatih bercadang untuk ke Jerman selama tiga bulan sebelum Sukan Asia tapi saya tak pasti MA atau MSN putuskan macam mana. Saya tunggu keputusan daripada mereka,” katanya. – UTUSAN










