Sektor pelabuhan negara catat rekod kendali lebih 30 juta TEU

Sektor pelabuhan negara catat rekod kendali lebih 30 juta TEU

HASBI Habibollah (tiga dari kanan) selepas menyampaikan penghargaan kepada pengurusan tertinggi JPB dan PTP semasa Majlis Makan Malam Penghargaan Pelabuhan-Pelabuhan Johor, baru-baru ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Sektor pelabuhan negara merekodkan jumlah pengendalian kontena melebihi 30 juta unit bersamaan dua puluh kaki (TEU) sepanjang tahun lalu, dipacu sumbangan utama pelabuhan di Johor.

Prestasi memberangsangkan itu menunjukkan ketahanan luar biasa pelabuhan berkenaan meskipun berdepan dengan ketidaktentuan geopolitik dan ekonomi global.

Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Hasbi Habibollah berkata, kedudukan strategik Malaysia di laluan perkapalan tersibuk dunia terus menjadikan pelabuhan negara sebagai nadi penting perdagangan global dan pemangkin ekonomi serantau.

“Pelabuhan Tanjung Pelepas (PTP) mencatatkan rekod tertinggi dalam sejarah operasinya dengan mengendalikan 14.02 juta TEU pada 2025, iaitu peningkatan 14 peratus berbanding tahun sebelumnya.

“Sementara itu, Johor Port Berhad (JPB) turut mencatat pencapaian terbaiknya dengan pengendalian 1.08 juta TEU, sekali gus mencerminkan kecekapan operasi yang tinggi,” katanya ketika merasmikan Majlis Makan Malam Penghargaan Industri Pelabuhan Johor, baru-baru ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata, PTP terus mengukuhkan kedudukannya sebagai gerbang kompetitif bagi perdagangan antarabangsa melalui pelaburan meluas dalam teknologi canggih, pengembangan terminal dan penambahan penggerak utama.

“PTP telah melabur banyak dalam projek KILAT yang sedang berjalan dan dijadualkan siap dalam masa beberapa tahun lagi bagi terus merangsang pertumbuhan ekonomi Johor menerusi aktiviti zon bebas,” katanya.

Tambahnya, berdasarkan laporan Alphaliner, pelabuhan tersebut kini menduduki tempat ke-14 dalam senarai pelabuhan paling pesat berkembang di dunia.

Dalam pada itu, Pengerusi Lembaga Pelabuhan Johor (LPJ), Rosnan Fathlal menyifatkan kerjasama erat antara pihak berkuasa pelabuhan dan pengendali adalah kunci dalam mendepani cabaran gangguan rantaian bekalan dunia.

Menurut beliau, pengukuhan hubungan tersebut membolehkan industri beralih daripada langkah reaktif kepada pembangunan pelan proaktif yang bersepadu bagi melindungi kecekapan maritim negara.

“Ketika ketegangan geopolitik membentuk semula landskap perdagangan, kita perlu memastikan kelestarian operasi pelabuhan terus terpelihara demi daya saing Malaysia di peringkat antarabangsa,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×