Bulan Syawal telah menutup tirainya menandakan bahawa kita masih jauh dengan Ramadan. Banyak pelajaran yang kita peroleh daripada Ramadan yang sewajarnya dibawa bersama sepanjang masa walaupun semakin hari semakin jauh Ramadan meninggalkan kita.
Orang mukmin mestilah yakin bahawa semangat dan roh ini bukan hanya dikecapi pada Ramadan sahaja, tetapi ia perlu diterjemahkan sepanjang masa tanpa mengira tempat dan masa. Jika sebaliknya, maka tiada apa yang manfaat bagi diri seseorang mukmin melainkan hanyalah semangat semata-mata.
Sabar antara pelajaran penting yang mesti dibina dan dipelihara pada waktu kita semua sedang diuji dengan wabak Covid-19 ini. Sabar dengan ujian yang berat seperti kehilangan insan tersayang.
Sabar dengan penuh taat segala arahan yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa khususnya Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) seperti mematuhi prosedur operasi standard (SOP).
Kita semua inginkan kehidupan yang normal dan bebas seperti yang kita lalui pada tahun-tahun lalu, namun Allah SWT menguji kita pada masa ini dengan ujian kesabaran.
Sesungguhnya al-Quran dan hadis banyak menceritakan kelebihan orang yang bersabar, banyak kisah lalu termasuk perjuangan para anbiya dan salafussoleh menggambarkan betapa tinggi kesabaran yang ada dalam diri mereka. Allah SWT menguji orang yang bersabar dengan ketakutan, kelaparan, kehilangan harta benda, kematian dan kekurangan hasil pertanian.
Ia sebagaimana firman Allah SWT yang bermaksud: Demi sesungguhnya! Kami akan menguji kamu dengan sedikit perasaan takut (kepada musuh) dan (dengan merasai) kelaparan, dan (dengan berlakunya) kekurangan dari harta benda dan jiwa serta hasil tanaman. Dan berilah khabar gembira kepada orang-orang yang sabar. (al-Baqarah: 155).
Sabar yang perlu kita terjemahkan dalam kehidupan normal baharu sekarang antaranya sabar daripada melakukan perkara yang boleh mengundang bahaya kepada diri dan juga orang lain seperti keluar rumah tanpa keperluan dan bukan dengan alasan yang penting.
Ia hanya membahayakan diri dan orang awam jika penyebaran wabak itu berpunca daripada diri tanpa kita sedar. Kerana itu para ulama fikah (fuqaha’) meletakkan kaedah syarak seperti tidak boleh bahaya dan membahayakan orang lain, justeru jika berlaku kematian berpunca daripada pembawa (carrier), maka sama hukumnya seperti dia membunuh dengan sengaja.
Tanpa sifat sabar dalam diri orang mukmin, maka sukar untuk kita mencapai kejayaan termasuklah kejayaan untuk memutuskan rangkaian wabak bahaya ini. Pastinya kesabaran kita tidak sehebat kesabaran para rasul ulul azmi seperti Nabi Nuh a.s yang berdakwah kepada kaumnya selama 950 tahun.
Begitu juga kesabaran Nabi Ibrahim a.s yang menanti cahaya mata sehingga lanjut usia, kemudian tatkala dianugerah anak diperintahkan tinggalkan isteri dan anak di padang pasar tanpa setitik air.
Lihatlah bagaimana kisah kesabaran Nabi Musa a.s yang ada dalam kebanyakan surah al-Quran antaranya kisah belajar baginda dengan Nabi Khidir a.s, semuanya memberi pengajaran yang besar kepada kita tentang sifat sabar.
Allah SWT memuji para rasul ulul azmi secara khusus di dalam al-Quran yang bermaksud: Oleh itu, sabarlah (wahai Muhammad) seperti kesabaran para rasul ulul azmi dan janganlah terburu-buru (meminta azab) atas mereka. (al-Ahqaf: 35).

Hari ini kerajaan dan para petugas barisan hadapan (front liners) khususnya kakitangan kesihatan dan keselamatan sangat tenat lantaran sikap segelintir masyarakat kita yang tidak endah dengan arahan yang dikeluarkan.
Implikasinya, statistik kes jangkitan meningkat ke paras yang amat membimbangkan walaupun pelbagai SOP demi SOP dijelaskan. Puncanya ialah sifat sabar yang sukar dihayati dan diamalkan dalam diri kita, maka hanya satu pihak sahaja yang bertepuk tangan sedangkan satu pihak lagi mementingkan diri sendiri.
Marilah kita membantu pihak berkuasa membasmi wabak yang sedang meragut nyawa saudara kita ini. tanpa kesabaran optimum daripada semua pihak pastinya wabak ini sukar dibendung dan diputuskan rangkaiannya.
Ketahuilah bahawa perintah kawalan pergerakan yang sedang berjalan ini adalah perintah daripada ulul amri (pihak berkuasa) yang wajib dipatuhi selagi mana tidak bercanggah dengan hukum syarak. Oleh itu, setiap apa yang dilarang adalah sama seperti larangan daripada Allah SWT.
- FAHIMI ZAKARIA ialah pensyarah Pusat Pengajian Asas, Management & Science University, Shah Alam, Selangor.










